Friday, April 6, 2012

Bahana Artikel 88


Harian Metro

TIDAK Semena-mena Artikel 88 peraturan 2010-2014 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) cukup popular bagi mereka yang mengikuti secara dekat perkembangan kes Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa yang menerima nasib malang apabila diharamkan terbabit sebarang aktiviti bola sepak selama dua tahun enam bulan berkuat kuasa kelmarin.


Bagi mereka yang menyokong tindakan Annuar mengeluarkan kenyataan secara terbuka mengenai prestasi semasa skuad kebangsaan kepada pihak media, pastinya menganggap hukuman yang tidak boleh dirayu itu terlalu kejam dan seakan-akan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu.


Tapi Annuar tersilap langkah apabila secara sedar ataupun tidak, sebagai ‘orang dalam’ badan induk bola sepak tanah air, mulutnya sebenarnya sudah terkunci daripada memberi kritikan ataupun berbicara hal-hal FAM yang menyaksikan beliau disabitkan dengan dua pertuduhan.




Sama ada suka atau tidak, perkara ini sudah tertulis dalam Artikel 88 bahawa hanya Presiden dan Setiausaha Agung yang boleh membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak yang mengendalikan kes itu berkata, tidak akan wujud pertikaian berhubung Artikel 88 jika ada pihak yang membuat cadangan untuk menggubal peraturan itu, sebelum ini.


“Statut adalah undang-undang tubuh FAM. Kalau ada perkara yang meragukan, ‘sit down’ (duduk berbincang) dan pinda, tapi setakat ini tidak ada yang berbuat demikian. Sebelum ini sudah ada kes membabitkan jurulatih B Sathianathan, Redhuan Abdullah, Abdul Rahman Ibrahim, Wan Jamak Wan Hassan (digantung kerana membuat kritikan) tapi ‘nobody cares’. Ini yang menjadi masalah.





“Pihak luar tak fikir mengenai perkara ini, mereka hanya akan buat tuduhan yang bukan-bukan kepada FAM,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kes perbicaraan Annuar kelmarin.

Annuar dikenakan hukuman kerana dua pertuduhan - membuat kenyataan menerusi media cetak dan elektronik, serta melanggar arahan dikeluarkan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada mesyuarat Exco FAM, 4 Februari lalu. Kesalahan itu diambil kira menerusi kritikan beliau terhadap prestasi skuad kebangsaan ketika ditanya pemberita pada 13 Mac lalu.




Kerana hukuman itu, tokoh pembangunan bola sepak Kelantan itu terpaksa berehat daripada menjalankan tanggung jawab sebagai Timbalan Presiden FAM, Pengerusi Malaysia Super League (MSL), Pengerusi Bola Sepak Wanita, Timbalan Pengerusi Skuad Bola Sepak Kebangsaan dan Presiden Kafa.

Beliau pegawai FAM ketiga dikenakan hukuman selepas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin pada 1991 dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.


Bekas pemain kebangsaan 1976-1985, Khalid Ali pula berpendapat hukuman lebih dua tahun itu tidak patut jika Jawatankuasa Tatatertib FAM mengambil kira sumbangan besar yang dimainkan Annuar kepada pembangunan bola sepak di Kelantan dan di peringkat kebangsaan.


“Pada saya tidak ada silapnya kenyataan yang dikeluarkan Annuar itu kerana ia sekadar teguran dalam memastikan peningkatan skuad kebangsaan. Ia bukan komen yang merosakkan skuad kebangsaan, kenapa perlu mengambil serius perkara itu. FAM adalah hak rakyat dan biarlah ada orang yang bersuara demi kemajuan bola sepak, takkan sudah berjaya langsung tidak boleh dikritik.


“Bagi saya menghukum Annuar adalah tindakan bodoh jika mengambil kira sumbangan beliau,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...