Thursday, April 5, 2012

Lucut semua jawatan peringkat kebangsaan, negeri


Harian Metro

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan ke atas Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa atas kesalahan mengkritik secara terbuka skuad kebangsaan sekali gus beliau tidak boleh terbabit dengan sebarang aktiviti di peringkat kebangsaan dan negeri berkuat kuasa serta-merta semalam.


Tambah perit buat Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu apabila Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang selama tujuh jam bermula 3 petang di Wisma FAM Kelana Jaya turut sebulat suara tidak membenarkan Annuar membuat rayuan terhadap hukuman itu.


Menurut pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Taufek Abdul Razak, Annuar disabitkan bersalah atas dua pertuduhan iaitu membuat kenyataan menerusi media cetak dan elektronik dan melanggar arahan dikeluarkan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada mesyuarat Exco FAM, 4 Februari lalu.




“Selepas meneliti kenyataan beliau menerusi laporan akhbar dan rakaman televisyen, kami tidak ada pilihan selain membuat keputusan Tan Sri Annuar Musa bersalah atas dua pertuduhan itu. Untuk tuduhan pertama beliau dijatuhkan hukuman dua tahun manakala pertuduhan kedua selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Hukuman itu secara automatik menyaksikan jawatan Annuar sebagai Timbalan Presiden FAM, Pengerusi Malaysia Super League (MSL), Pengerusi Bola Sepak Wanita, Timbalan Pengerusi Skuad Bola Sepak Kebangsaan dan Presiden Kafa dilucutkan.


“Hukuman ini tidak boleh dijalankan serentak kerana ia kesalahan yang berlainan. Hukuman ini tidak membenarkan beliau menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden di peringkat negeri dan kebangsaan. Secara dasar, betul (jawatan dilucutkan) kerana jawatan itu sudah tidak aktif termasuk jawatannya bersama Kafa,” jelas Taufek.





Bagaimanapun Taufek menafikan hukuman yang diputuskan itu terlalu kejam memandangkan ia bukan kesalahan pertama yang dilakukan Annuar.

“Bukan kali pertama Tan Sri Annuar dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib tapi saya tak akan memberi penjelasan lanjut mengenai perkara itu. Sebelum ini beliau dibebaskan. Pihak jawatankuasa boleh mengenakan denda ke atasnya pada kesalahan kali ini tapi atas budi bicara kami tidak berbuat demikian.




“Hukuman ini paling minimum dan kami tidak boleh memberikan rayuan kepadanya berbanding hukuman pada kes sebelum ini seperti Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil,” katanya sambil menegaskan semua keputusan mengambil kira peraturan yang termaktub dalam statut FAM.

Annuar dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media mengenai prestasi skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal ketika menghadiri Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab anjuran MSL di Shah Alam, 13 Mac lalu.


Sebelum ini Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin digantung tiga tahun pada 1991 kerana mengkritik FAM manakala Ahmad Basri pula digantung dua kali - pertama selama empat tahun pada 1991 dan sekali lagi selama tiga tahun pada 2007 kerana membuat kenyataan FAM gagal membangunkan bola sepak di peringkat kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...