Friday, November 2, 2012

Kepimpinan T-Team dijangka berubah


Harian Metro

MESYUARAT Agung Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBDSKT) yang dinaungi pasukan Liga Super T-Team, hari ini, mungkin menyaksikan perubahan pucuk pimpinan.

Jawatan presiden disandang Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusof sebelum ini dimenangi tanpa bertanding selama lebih 10 tahun dicabar wakil Persatuan Bola Sepak Darul Iman, Abdul Rasid Jusoh.

Sebelum ini, Shaikh Ahmad yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengalu-alukan sebarang pencalonan jawatan presiden kerana sebelum ini belum ada calon tampil mencabarnya.


Beliau pernah menyuarakan kesanggupan menimbang untuk berundur secara baik jika ada ahli persatuan mampu menerajui persatuan dan mempunyai misi dan visi lebih baik.

Namun semalam, Abdul Rasid yang sudah menerima surat perlantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif T-Team berkuat-kuasa Ahad ini, menyatakan hasrat mencabar Shaikh Ahmad sebagai Presiden PBSDKT.

“Sebagai pegawai yang diberi tanggungjawab menerajui T-Team menghadapi Liga Super musim depan, saya rasa ada baiknya jika saya bertanggungjawab ke atas persatuan.

“Keputusan terakhir bagaimanapun terletak di tangan wakil 30 kelab yang bergabung di bawah PBSDKT dan andai mereka memilih untuk melakukan perubahan kepada pucuk pimpinan, saya dengan senang hati menggalas tugas tersebut,” kata Rasid yang pernah menjadi pengurus T-Team selama empat tahun bermula 2007.

Perebutan turut tertumpu kepada Timbalan Presiden PBSDKT, Zakaria Abdullah juga dicabar ahli jawatankuasa persatuan, Mohamad Sekanther Abdul Hamid.

Mohd Sekanther yang membimbing pasukan Piala Presiden T-Team musim lalu berkata, kesanggupannya untuk merebut jawatan timbalan presiden berdasarkan rasa tidak puas hati segolongan besar ahli persatuan yang inginkan perubahan.

“Ramai berpendapat pemegang jawatan sekarang gagal memainkan peranan dengan baik dan tidak melaksanakan program pembangunan bola sepak di peringkat daerah.


“Sepatutnya Kuala Terengganu sebagai daerah terbesar Terengganu mempunyai liga sendiri namun hingga kini tidak dapat dilaksanakan dan itu menyukarkan bakat baru diketengahkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...