PETALING JAYA - Sama ada diturunkan atau tidak, penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias sedia untuk memastikan gawang Harimau Malaya tidak dibolosi apabila menentang Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Bekas penjaga gol Shahzan Muda, Perlis dan Negeri Sembilan itu, berkata, latihan seminggu selepas saingan peringkat kumpulan banyak membantu persediaannya.
"Semuanya sudah bersedia, saya berlatih seperti biasa tanpa ada sebarang latihan istimewa, saya boleh diturunkan pada bila-bila masa untuk berdepan dengan Thailand dalam separuh akhir nanti," katanya ketika ditemui kelmarin.
Farizal, yang sebelum ini diletakkan sebagai penjaga gol No. 2, diberi kepercayaan menjaga gawang negara selepas penurunan prestasi Khairul Fahmi Che Mat pada perlawanan pertama di mana Malaysia tewas 0-3 kepada Singapura.
Menurut pemain kelahiran Pahang itu, Thailand sebuah pasukan yang berpengalaman kerana sebahagian besar pemain negara Gajah Putih itu sudah lama beraksi bersama-sama dan diharap rakan-rakannya dapat mengawasi dengan rapi pergerakan anak buah Winfried Schafer.
"Saya harap semua rakan sentiasa fokus termasuk diri saya sendiri, kita perlu sentiasa berhati-hati menentang pasukan seperti ini dan dalam masa yang juga jangan terlalu takut," kata pemain berusia 26 tahun itu.
Saingan kali ini juga adalah peluang terbaik untuk Farizal menebus kekecewaan AFF 2010 apabila dia dipanggil menyertai skuad Datuk K. Rajagobal namun mengalami kecederaan ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama Perlis sebelum digantikan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.
Farizal yang akan menyertai Perak dalam saingan Liga Malaysia musim depan, mengakui komunikasi dan persefahaman antaranya dan empat rangkaian pertahanan semakin baik apabila mereka setelah dua perlawanan bersama di kejohanan.
Ditanya sama ada beraksi di tempat sendiri pada perlawanan separuh akhir pertama memberi kelebihan atau tidak, Farizal berkata, tidak kira sama ada beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil ataupun di gelanggang lain semuanya sama penting.
"Soal gelanggang tidak penting apa yang penting adalah corak permainan, kita perlu sentiasa beraksi sebaik mungkin," kata Farizal yang pernah menganggotai skuad Piala Suzuki AFF 2008 sebagai penjaga gol ketiga.
No comments:
Post a Comment