PETALING JAYA - Penyerang kebangsaan, Safee Sali berkata dia bergelut dengan masa untuk memastikan kecederaan otot paha kanan yang dialaminya pulih demi untuk beraksi menentang Thailand pada separuh akhir Piala Suzuki AFF, esok.
Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu tidak mahu terlalu memaksa kerana bimbang kecederaannya akan bertambah buruk.
"Keadaan kecederaan saya bertambah baik, namun saya perlu mendapatkan tahap kecergasan yang terbaik menjelang perlawanan Ahad ini (esok)," ketika ditemui selepas sesi latihan.
Menurut jurulatih kebangsaan kelmarin, Datuk K. Rajagobal, Safee mungkin tidak akan beraksi esok dan sekadar berada pada bangku simpanan kerana masih belum pulih dari kecederaan.
"Jika saya tidak beraksi, ia tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai ramai pemain yang bersedia untuk masuk pada bila-bila masa, melihat dalam latihan juga ramai pemain yang bersedia untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.
"Saingan separuh akhir amat penting tetapi saya perlu mengikut perkembangan serta nasihat daripada fisioterapi," kata Safee, yang mengakui tahap kecederaannya sudah pulih 90 peratus.
Mengenai perlawanan esok, kata Safee: "Thailand merupakan sebuah pasukan yang kuat, ini memang kita sedia maklum.
"Pertembungan dengan Thailand memang sengit dalam mana-mana kejohanan sejak Sukan SEA 2009 Laos sehingga Piala Suzuki AFF 2010.
"Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil bakal memberi kelebihan kita, jadi saya tidak sabar untuk cepat sembuh selepas menunjukkan perkembangan positif dalam latihan," katanya.
No comments:
Post a Comment