KUALA TERENGGANU - Pemain dari Cameroon, Vincent Bikana, 21 tahun, merupakan pemain terakhir mengisi slot pemain import skuad penyu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2013 musim depan.
Sebelum ini pemain dari negara sama, Effa Owana juga bekas pemain Negeri Sembilan musim 2012 telah mengisi slot pemain import skuad penyu itu.
Pengurus pasukan Marzuki Sulong berkata Bikana pernah beraksi bersama Owana dalam pasukan kebangsaan Cemeroon.
"Kita telah uji hampir 15 pemain daripada pelbagai negara, namun semuanya tidak dapat memenuhi kriteria yang kita perlu.
"Bikana adalah merupakan pemain terakhir yang menyertai sesi pemilihan dan kita berpuas hati dengan kualiti yang ada padanya (Bikana)," katanya.
Marzuki berkata Bikana dan Owana masing-masing akan diuji kewibaan sebenar apabila skuad penyu itu bertemu Perlis dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam ini.
Katanya, Terengganu tidak dapat menurunkan lima pemain tempatan dalam perlawanan itu kerana dua daripadanya menyertai skuad Rajagopal dalam pertandingan Piala AFF Suzuki, manakala tiga lagi cedera.
Mohd Zubir Azmi dan Faizal Mohamad mewakili pasukan AFF Suzuki sementara Manaf mamat, Nasril Azzat dan Rosdi Talib, cedera semasa latihan.
Marzuki berkata senarai penuh pemain skuad penyu 2013 akan diumumkan sedikit masa lagi dan berharap peminat terus memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.- Bernama
No comments:
Post a Comment