Sunday, December 9, 2012

Tunjukkan karakter juara


Rajagobal memberi kata-kata semangat kepada pemainnya pada sesi latihan terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. - MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH


KUALA LUMPUR - Datuk K. Rajagobal menyeru anak-anak buahnya agar tidak gentar berdepan Thailand yang dianggap pasukan pilihan, sebaliknya 'menikmati' perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012 malam ini tanpa rasa takut.

Pengendali Harimau Malaya itu menegaskan, Malaysia tidak rugi apa-apa apabila berdepan lawan yang tidak pernah kalah sepanjang kempen Kumpulan A itu jika menunjukkan perwatakan dan pemikiran juara seperti yang ditunjukkan ketika melepasi Kumpulan B.



"Ya, memang kita kalah 2-0 kepada Thailand (persahabatan di Bangkok, 7 November lalu) tetapi suasana permainannya berbeza kali ini. Kami tidak akan rugi apa-apa, malah saya mahu pemain menikmati perlawanan ini dan jangan takut dengan lawan.

Beliau juga berkata, sekiranya hujan mengiringi perlawanan malam ini, ia tidak akan memberi kelebihan sama ada kepada Malaysia mahupun Thailand.

Ditanya tentang peluang anak buahnya untuk menamatkan badi tidak pernah menang ke atas Thailand sejak 2004, Rajagobal berkata, peluang tetap ada.

"Mereka juga tidak pernah menewaskan kita (seri tanpa jaringan peringkat kumpulan Piala AFF 2010).

"Namun selepas dua tahun berlalu, tetapi sudah agak berubah sekarang," ujarnya lagi.

Mengenai kesebelasan utama Malaysia untuk menghadapi juara tiga kali itu, katanya hanya Mohd. Shakir Shaari dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

Kedudukan penyerang utama negara, Mohd. Safee Sali semakin baik, namun beliau menyifatkan peluangnya untuk diturunkan masih 50-50.

"Cuma Shakir Shaari dan Wan Zack Haikal yang tidak dapat diturunkan esok (cedera buku lali dan otot paha terkoyak).

"Tetapi untuk Safee, saya masih memantau keadaannya, begitu juga dengan pemain-pemain lain yang cedera,'' katanya.

Sementara itu pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal menuntut anak buahnya agar tidak sesekali mengulangi kesilapan mudah yang mampu menghadiahkan gol kepada lawan seperti di peringkat Kumpulan B.

"Saya bukan ahli nujum dalam meramalkan apakah angka keputusan perlawanan esok (malam ini) tetapi seboleh-bolehnya kita tidak mahu dibolosi lawan dengan sebarang gol apabila kita ke Bangkok (separuh akhir kedua, Khamis ini). Peraturan gol tempat lawan perlu diambil kira dalam hal ini.

"Pasukan kita sekarang mampu mencatat sejarah yang lebih baik dari 2010 (juara kali pertama).

"Saya tidak memperkecilkan lawan lain tetapi jika kita dapat mengatasi Thailand, tiada masalah untuk kita mempertahankan kejuaraan selepas itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...