Sunday, December 9, 2012

Pablo Aimar pula dalam radar Johor



JOHOR BAHRU - Skuad Harimau Selatan meneruskan usaha untuk memantapkan pasukan dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor apabila mahu menambah koleksi barisan bintang mereka dengan pemain Benfica, Pablo Aimar kini berada dalam radar terbaru.

Biarpun Johor, yang bakal dikenali sebagai Darul Takzim FC sudah mempunyai dua pemain import, Daniel Guiza dan Simone Del Nero, namun pembelian Aimar yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan Argentina dilihat sebagai perancangan masa depan pasukan tersebut.

Hasrat menyunting pemain berusia 33 tahun itu disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang jelas mempunyai perancangan hebat untuk Johor.



"Saya kemungkinan besar bila pasaran perpindahan pemain pertengahan musim dibuka, tak pun pada hujung tahun depan, kita akan cuba mendapatkan khidmat Pablo Aimar dari Benfica untuk beraksi bersama pasukan Johor," katanya di sini.

Tunku Ismail yang berusaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor berkata, biarpun belum ada sebarang pengesahan, namun kedua-dua pihak sudah mengadakan perbincangan dan Aimar menyatakan kesudian ke Johor.

Aimar, pemain tengah bertubuh kecil yang mampu melakukan sesuatu yang hebat apabila bola berada di kakinya pernah beraksi di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin di sini semasa mewakili Argentina pada Piala Remaja Dunia FIFA 1997.

Berasal dari Rio Cuarto, Argentina, Aimar beraksi pada pusingan kalah mati di stadium berkenaan yang menyaksikan Argentina menang ke atas England 2-1 dengan dia menyumbat gol kemenangan untuk negaranya pada perlawanan itu.

Argentina juga muncul juara kejohanan itu. Dia juga pernah beraksi pada Piala Dunia FIFA tahun 2002 dan 2006.

Aimar yang mempunyai sejarah kerjaya bola sepak yang hebat dan pernah menjadi antara pemain muda Argentina terbaik memulakan kariernya bersama River Plate pada 1995.

Dia kemudian bermain untuk pasukan senior River Plate sebelum menyertai Valencia pada 2001-2006, Real Zaragoza (2006-2008) dan Benfica 2008 hingga kini. Kontraknya di Benfica dikatakan akan tamat pada tahun depan.

Pada 25 Jun tahun ini, sebuah laman portal berita sukan www.caughtoffside.com pernah melaporkan, Alex Ferguson berminat untuk membawa pemain itu ke Old Trafford untuk beraksi bersama Manchester United.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...