Monday, December 3, 2012

Pandang hadapan

Harian Metro


PENYERANG negara, Mohd Safee Sali tidak lagi mahu memandang aksi peringkat kumpulan selepas Harimau Malaya mara ke separuh akhir berdepan Thailand.

Skuad Gajah Perang yang dibimbing Winfried Schafer kini menanti anak buah Datuk K Rajagobal dalam dua peringkat separuh akhir manakala Singapura menentang Filipina bagi merebut dua tiket ke final.

“Berdepan Thailand adalah satu perlawanan berlainan. Kita pernah bermain dengan mereka dalam perlawanan persahabatan. Jadi pada saya, kita perlu membaiki setiap kelemahan yang ada sebelum perlawanan,” kata penjaring terbanyak negara dalam Piala AFF dengan lapan gol.

Malaysia dalam satu aksi persahabatan di Bangkok pada awal bulan lalu kecundang 0-2 menerusi jaringan Prayat Bunya pada minit ke-26 dan rembatan kencang Arthit Sunthornphit dari luar kotak penalti minit ke-80 bagi menewaskan penjaga gawang, Mohd Farizal Marlias pada perlawanan itu.



Thailand membuktikan mereka pencabar utama untuk merampas kejuaraan kali ini apabila muncul juara Kumpulan A dengan meraih mata maksimum dalam tiga perlawanan dengan meledak sembilan gol, paling banyak berbanding pasukan lain dan hanya melepaskan dua gol.


“Memang diakui jentera serangan dan pertahanan mereka bagus namun kami perlu menggunakan tempoh yang ada sebaik mungkin,” katanya yang baru meledak satu gol.


Safee yang banyak dikritik kerana kegagalannya menyerlah, hanya menjaringkan satu gol ketika menentang Laos.


Selaku peledak hebat yang beraksi dalam Liga ISL dengan kelab Pelita Jaya dia diharap mempamerkan ketajamannya membolosi gawang lawan.

Namun dia agak tumpul dan kerap melepaskan peluang keemasan di gawang lawan. Begitu juga halnya bagi Norshahrul Idlan Talaha.


“Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik nanti dan berharap gol kedua akan menyusul berdepan Thailand nanti.


“Saya harap penyokong bersabar dan tetap memberikan sokongan padu kepada skuad negara,” katanya. Mengenai Indonesia, Safee berasakan juara edisi 2010 itu lebih bagus dan berpengalaman berbanding pemain yang tampil bersaing kali ini.


“Saya rasa mereka akan lebih hebat jika mempunyai pemain Liga Super Indonesia (ISL). Saya harap konflik yang berlaku dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...