Monday, April 2, 2012
Kebangkitan Jang legakan Azraai
NEGERI Sembilan kembali bangkit daripada prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Super apabila meraih dua kemenangan berturut-turut iaitu menewaskan Kedah di laman sendiri dua minggu lalu dan ke atas Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Kemenangan itu nyata melegakan ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah, yang mahu anak buahnya terus mempamerkan prestasi cemerlang bagi mempertahankan reputasi pasukan.
Baginya, kemenangan ke atas Kuala Lumpur lebih bermakna kerana skuad bimbingannya turun tanpa kelibat ayam tambatan, Jean-Emmanuel Effa Owona, yang digantung dua perlawanan, namun pemain yang diturunkan mampu menggalas tugas dengan baik dan memuaskan.
“Walaupun turun menentang Kuala Lumpur buat pertama kalinya tanpa Effa Owona, pemain yang disandarkan dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang dengan kejayaan meraih tiga mata berharga dari gelanggang lawan.
“Kehadiran semula kapten pasukan, Mohd Shukor Adan yang pulih daripada kecederaan dan digandingkan dengan Idris Karim, memberi kesan ketara kepada persembahan pasukan terutama di bahagian tengah yang dilihat kembali berfungsi dengan baik.
“Syabas kepada pemain yang menunjukkan semangat dan komitmen tinggi untuk memastikan kemenangan sekali pun mereka ketinggalan terlebih dulu tapi dapat bangkit dengan meraih tiga mata berharga,” katanya semalam.
Pengendali berpengalaman itu juga puas hati dengan persembahan barisan depan diterajui Ahmad Shakir Md Ali sambil dibantu Shahurain Abu Samah yang kedua-duanya menjaringkan gol buat skuad Hoben Jang Hoben.
Bagi Azraai, persembahan cemerlang itu perlu dikekalkan bagi memastikan Negeri Sembilan tidak lagi kehilangan mata berharga dalam setiap perlawanan ketika pusingan pertama kian menghampiri penghujungnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment