Monday, April 2, 2012

Gol ‘selamat tinggal’ Muratovic



Selain Muratovic, pemain kebangsaan Ashri Chuchu turut menyerlah apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-44 dan minit ke-81 sementara Mohd Shahrol Saperi menjaringkan gol pada minit ke-13.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts ternyata berpuas hati dengan kemenangan besar itu meskipun Sarawak beraksi tanpa lima pemain tonggak utama.

“Saya melakukan sedikit perubahan dengan strategi baru yang menampilkan beberapa pemain simpanan untuk menghadapi cabaran PKNS Selangor.
“Ternyata strategi kita berjaya membuahkan hasil dengan kemenangan termasuk jaringan di luar jangkaan,” demikian katanya ketika dihubungi semalam.



Menurut Alberts, PKNS merupakan sebuah pasukan yang mantap dengan corak permainan bertahan dan pendekatan itu dimanfaatkan Sarawak dengan melancarkan serangan dari segenap penjuru yang ternyata membuahkan hasil.

“Saya cukup bangga dengan persembahan menarik pemain-pemain dan sentuhan penyudah yang baik dilakukan mereka dari pelbagai sudut,” katanya.
Sarawak mendahului PKNS Selangor dengan gol pembukaan menerusi gol jaringan pemain sayap, Mohd Shahrol pada minit ke-13.

Meskipun diberi tentangan hebat pasukan tuan ruamh, Sarawak mampu menguasai perlawanan dengan menambah jaringan kedua menerusi Ashri beberapa minit sebelum babak pertama berakhir.

Dengan sokongan padu penyokong dan peminat setianya di Kuala Lumpur, Sarawak berada dalam keadaan selesa apabila mendahului PKNS Selangor 2-0 dalam babak pertama.

Babak kedua menyaksikan pasukan tuan rumah cuba bangkit untuk merapatkan jurang gol justeru usaha mereka berhasil apabila Khairul Azrin memperolehi jaringan seawal minit babak kedua.

Bagaimanapun, hasrat PKNS untuk mengimbangi kedudukan tidak kesampaian apabila Muratovic yang bermain perlawanan terakhirnya sebelum meninggalkan Sarawak, meledakkan gol ketiga pada minit ke-65.

Sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan, Ashri sekali lagi meledakkan jaringan sekali gus memberi kemenangan besar buat Sarawak.

“Saya memang amat gembira dapat menyumbangkan dua gol untuk Sarawak menang besar dalam pertemuan dengan PKNS Selangor semalam,” kata Ashri 
ketika dihubungi semalam.

Ashri, pemain yang berasal dari Sundar, Lawas itu berharap sentuhannya akan terus menjadi dalam perlawananperlawanan akan datang jika diberi peluang beraksi.

Dengan kemenangan itu, Sarawak memperbaiki kedudukannya di Liga Super dengan menduduki tangga kelapan hasil empat kemenangan, dua seri dan lima kali kalah.

Perlawanan seterusnya cukup getir buat Sarawak kerana mereka bakal menanti kunjungan peneraju Liga Super, Kelantan di Stadium Negeri pada Sabtu ini.

Sarawak dijangka menurunkan buat pertama kalinya penyerang import baru bertaraf dunia dari Cameroon, Joel Epalle, 34, untuk menerajui barisan penggempur.

Epalle bakal menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) hari ini (Isnin) dan akan mula beraksi menentang Kelantan jika Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) diperolehi dengan secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...