Tuesday, April 3, 2012

Dendam jadi motivasi NS


Harian Metro

MISI membalas dendam menjadi asas perjuangan barisan anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah sebaik turun menentang LionsX11, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.


Sekalipun persiapan Negeri Sembilan sedikit terjejas berikutan ketiadaan penyerang utama, Jean-Emmanuel Effa Owona, ketua jurulatih berpengalaman itu sudah membuat persiapan rapi bagi memastikan skuad bimbingannya itu tidak menerima aib sebaliknya mencatat kemenangan di depan penyokong sendiri.


Beliau mengaku bakal menyandarkan harapan tinggi kepada penyerang muda, Ahmad Shakir Md Ali (gambar) yang sudah menjaringkan enam gol untuk menerajui barisan depan bersama pemain sayap lincah, Shahurain Abu Samah bagi merobek gawang lawan.




“Sekalipun LionsX11 memiliki kekuatan tersendiri, saya harap pemain tidak mudah lemah semangat atau terlalu menghormati pasukan lawan hingga menjejaskan persembahan.

“Negeri Sembilan akan turun dengan misi membalas dendam atas kekalahan di Stadium Jalan Besar sebelum ini dan saya harap pemain sedia melakukan persembahan terbaik bagi merealisasikan sasaran itu,” katanya.


Sekalipun tanpa Effa Owona dan seorang lagi tonggak, Norhafiz Zamani Misbah yang masih belum cergas, Azraai yakin ia tidak akan memberi kesan ketara kepada kekuatan skuad Rusa kerana pemain lain yang bakal mengisi posisi itu berada pada tahap prestasi terbaik.





Beliau menaruh harapan membawa Negeri Sembilan memperbaiki kedudukan liga tidak tersekat dengan keputusan kurang memuaskan.

“Selepas berjaya mengutip mata penuh daripada dua perlawanan iaitu ke atas Kedah dan Kuala Lumpur, saya harap pemain mampu meneruskan momentum kemenangan ini ke atas LionsXII pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...