Tuesday, April 3, 2012

Kejayaan Harimau Muda kekal rekod dicemburui


Harian Metro

KEJAYAAN Harimau Muda mengekalkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan pastinya mengundang rasa cemburu buat pencabar kejuaraan Liga Singapura (Liga-S) musim ini.


Selepas menewaskan Angkatan Tentera Singapura (SAF) 2-1 kelmarin, skuad kendalian Ong Kim Swee itu kini menduduki tangga kedua liga, berkongsi 14 mata dengan peneraju Brunei DPMM yang memiliki kelebihan jaringan.

Permulaan cemerlang barisan muda negara itu yang bersaing buat kali pertama dalam Liga-S musim ini mencetuskan harapan baru bahawa mereka memiliki potensi merebut kejuaraan biarpun hanya diwakili pemain Bawah 23 Tahun.





Namun Kim Swee lebih berminat meredakan sedikit keghairahan itu dengan menegaskan sasaran utama adalah menduduki kelompok lima pasukan terbaik daripada 13 pasukan bertanding.

“Memang saya suka menerapkan mentaliti juara kepada pemain tapi saya mengingatkan semua pemain saingan liga masih awal. Kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan lawan kerana semua pasukan kini mahu meleburkan rekod bersih Harimau Muda,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Bagi Kim Swee, kemenangan ke atas juara liga lapan kali SAF itu paling menggembirakan kerana pasukannya kini dihimpit kecederaan pemain.





“Saya hanya membawa 16 pemain ke Singapura bagi perlawanan itu dan nyata pemain seperti Shahrul Saad dan Mohd Azizan Nordin beraksi baik untuk mengambil tempat Mahali Jasuli dan Mohd Irfan Fazail yang cedera.

“Kemenangan ke atas SAF ini memberikan isyarat yang kita berada di landasan tepat bagi menghadapi kejohanan kelayakan Piala Asia 2013 (bawah 22 tahun) kerana saya menurunkan semua pemain bawah 21 tahun. Jika anda lihat, SAF bukannya calang-calang pasukan kerana mereka mempunyai empat pemain import berkualiti serta dua pemain naturalisasi,” katanya.




Bekas penyerang Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri muncul wira Harimau Muda apabila meledak gol kemenangan tiga minit sebelum tamat perlawanan. Sebelum itu, kedudukan terikat 1-1 apabila pemain sayap Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Noor mencipta nama selaku penjaring di minit ke-69 sebelum pemain import, Shimpei Sakurada menyamakan kedudukan pada minit ke-78.

Tugas Harimau Muda lebih mencabar apabila akan beraksi dalam pertembungan pasukan teratas, menentang Brunei DPMM di gelanggang lawan, Jumaat ini.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...