Friday, November 2, 2012

Melaka lamar Mat Zan



KUALA LUMPUR - Bagaikan tersentak daripada lamunan, Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) seperti mula membayangkan keazaman untuk bangkit pada saingan Liga Malaysia apabila Mat Zan Mat Aris mengesahkan dia dilamar menjadi jurulatih Melaka bagi musim depan.

Biarpun belum secara rasmi bakal mengemudi Melaka, segala perbincangan antara pihaknya dan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) berjalan dengan baik dan jika tiada sebarang masalah, bekas jurulatih Terengganu, Kuala Lumpur, KL Plus dan Pos Malaysia itu bakal mengemudi Melaka dalam saingan Liga FAM 2013.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, jurulatih berpengalaman itu mendedahkan dia kini hanya menunggu kata putus daripada MAFA dan menganggap sebagai satu cabaran besar buatnya dalam menaikkan kembali maruah bola sepak Melaka jika dia dipilih menjadi jurulatih.


"Tiada masalah buat saya menerima tawaran MAFA jika mereka benar-benar mahukan saya dan saya sendiri sudah menetapkan sasaran tersendiri seandainya mengendalikan Melaka musim depan.

"Sudah tentu saya mahu memulihkan kembali maruah bola sepak Melaka selepas sekian lama sepi dalam saingan Liga Malaysia dan saya bersedia memikul tugasan yang akan diberikan.

"Biarpun saya mempunyai banyak pengalaman membimbing pasukan-pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana, bersama Melaka di Liga FAM mungkin akan jadi satu cabaran berbeza.

"Itu menjadi harapan saya iaitu membawa Melaka naik ke Liga Perdana dan seterusnya menghidupkan kembali nama negeri ini dalam peta bola sepak negara, sebuah negeri yang satu ketika dahulu mempunyai ramai pemain ternama," katanya.

Selain itu, Mat Zan mengharapkan dia akan mendapat sokongan yang padu daripada MAFA dan dia lebih gemar memilih pendekatan menggunakan bakat-bakat muda daripada pemain berpengalaman yang sudah di berada di hujung karier.

''Saya faham banyak pasukan di Liga FAM berdepan masalah kewangan kerana tetapi saya yakin dengan perancangan MAFA bagi menghadapi musim depan.

''Jika diberi pilihan, saya mahu menggunakan pemain-pemain muda kerana lebih mudah dibentuk berbanding tonggak-tonggak veteran," katanya.

Kesuraman bola sepak Melaka sebelum ini pernah diberi perhatian Utusan Malaysia selepas tiga tahun bermain di Liga FAM di samping kegagalan beraksi di pentas tertinggi sejak sekian lama.

Impak daripada laporan Utusan Malaysia itu membuatkan pihak MAFA dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam terpaksa membuka mulut memberi penjelasan mengenai situasi sebenar bola sepak negeri itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...