TIADA rotan akar pun berguna! Perak tanpa banyak pilihan mengambil pemain dari Perancis, Karim Rouani di saat akhir sebagai pelengkap tenaga awang import untuk musim Liga M 2013.
Pemain kelahiran Maghribi yang tidak jadi menyertai PKNS FC itu tiba di Ipoh petang semalam sekali gus mengulangi peristiwa pengambilan di saat akhir penyerang Serbia, Lazar Popovic pada awal musim lalu.
Perak sebelum ini mengikat pemain Brazil, Rafael Souza Silva Novais yang pernah mewakili Bangkok Glass dalam Liga Thailand.
Jangkaan Perak berjaya menamatkan buruan terhadap pemain importnya dengan mengikat pemain Nigeria, Dickson Mwakaema tidak menjadi kenyataan apabila ejen pemain itu meletakkan harga yang terlalu tinggi untuk khidmat pemain kelab Vietnam itu.
“Ejen pemain itu cuba ambil kesempatan selepas sedar Perak kesuntukan masa, tapi bagi saya itu tidak bererti Perak perlu buang duit sewenang-wenangnya,” kata jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah.
Azraai yang tetap tenang menghadapi situasi itu yakin Perak dan Karim akan memeterai ikatan dan pemain itu mampu memberi sumbangan berkesan kepada Seladang.
“Dia mempunyai ciri-ciri penyerang berwibawa dan saya percaya mampu mewujudkan gandingan mantap dengan pemain tempatan,” katanya.
Karim, 31, ketika ditemui berkata dia pernah bermain dengan kelab Budapest Honved dalam Liga Hungary sebelum menyertai kelab Thailand, BEC-Tero Sasana.
“Saya hanya bersama BEC-Tero selama enam bulan tapi menghadapi masalah dengan pegawai kelab itu yang menyebabkan saya memendekkan kontrak,” katanya.
Dia berkata mempunyai ramai kenalan dalam Liga M dan melalui merekalah dia berminat menyertai pasukan di negara ini.
“Saya berharap dapat bermain untuk Perak kerana saya percaya mampu memberi sumbangan bermakna,” katanya.
No comments:
Post a Comment