KEHADIRAN pemain Persija Jakarta, Emanuel Matias De Porras dalam pasukan Negeri Sembilan disambut baik penyerang, Eddy Helmi Manan apabila dia bersedia membentuk gandingan mantap di barisan depan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Malah, pemain berusia 29 tahun berasal dari Johor itu berkata, dia tidak berdepan masalah untuk serasi dengan pemain import itu kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
“Saya gembira dan menyambut baik De Porras dalam pasukan ini kerana saya difahamkan dia pemain berpengalaman dan memiliki reputasi tinggi. Sudah tentu De Porras akan menjadi aset penting buat kami nanti.
“Sebagai pemain yang berada di posisi sama, sudah pasti saya perlu berusaha membentuk gandingan mantap untuk memastikan kekuatan barisan depan lebih berwibawa dan mampu membantu memastikan kejayaan.
“Ini kerana semua pemain mempunyai peranan dan tugas masing-masing dan bukannya terletak kepada De Porras seorang walaupun dia memiliki reputasi penyerang berwibawa,” katanya semalam.
Kelmarin, ketua jurulatih skuad Hobin Jang Hobin, Divaldo Elves mengesahkan De Porras, 31, yang berasal dari Argentina pemain import baru yang akan beraksi di posisi penyerang.
Eddy Helmi berkata, fokusnya ketika ini untuk meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik bagi merealisasikan sasaran ditetapkan.
Sementara itu, dia berkata lebih serasi dengan corak taktikal digunakan Elves dalam membimbing skuad berkenaan.
Dia yakin gaya persembahan ala Portugal itu akan memastikan Negeri Sembilan menjadi pencabar saingan liga nanti.
“Saya yakin Negeri Sembilan mampu mengharungi cabaran dengan lebih baik dengan keputusan yang memberangsangkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment