Friday, December 7, 2012

Harian Metro


TIGA perlawanan tanpa sebarang gol membuatkan penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha semakin bernafsu untuk merobek gawang Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

Pemain Paling Bernilai kebangsaan 2012 itu yakin sudah berada di prestasi terbaik untuk menamatkan kemarau jaringan apatah lagi dia kemungkinan bakal menjadi sandaran terbaik menerajui jentera serangan berikutan kedudukan gandingannya, Mohd Safee Sali masih menjadi tanda tanya.



Sehingga semalam, Safee masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring dan Norshahrul tidak tertekan dengan situasi itu.

Biarpun Norshahrul, 26, mengharapkan Safee akan pulih dalam tempoh terdekat ini, namun dia bersedia untuk menggalas tugas utama mengikut percaturan Datuk K Rajagobal.


“Saya harap Safee boleh bermain menentang Thailand kerana kita memerlukan penyerang utama.


“Saya hanya mengikut perancangan jurulatih sama ada mahu meletakkan saya sebagai penyerang utama, tapi saya lebih selesa beraksi di belakang penyerang utama.

“Tapi saya yakin saya akan menjaringkan gol dalam perlawanan dengan Thailand kali ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.


Norshahrul yang bakal beraksi dengan Johor atau kini dikenali sebagai Darul Takzim FC menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia menjulang kejuaraan pada edisi 2010.

Dia yang mesra disapa dengan panggilan Mat Yo tidak tertekan selepas dua tahun gagal menjaringkan gol di peringkat antarabangsa kerana yakin dengan kemampuannya.


“Apabila pasukan bergantung kepada saya, keinginan saya untuk menjaringkan gol lebih tinggi. Ketika final Piala Malaysia, (Mohamed) Ghaddar tidak beraksi dan saya secara automatik menggalas tugas itu dan berjaya menjaringkan dua gol,” katanya yang membantu Kelantan menewaskan ATM 3-2 di final Piala Malaysia, Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...