Wednesday, April 4, 2012

Berat hati ke Singapura


Harian Metro

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.


Namun tidak seberat hati Francis Forkey Doe yang terpaksa kembali ke Stadium Jalan Besar di Singapura untuk menghadapi tentangan tuan rumah, Tampines Rovers, dalam saingan Kumpulan F Piala AFC, malam ini.

Ejekan penonton di stadium yang menghinanya dengan panggilan ‘monkey’ (monyet), ‘kunta-kinte’ (watak hamba Afrika dalam siri televisyen), orang hitam, ‘nigger’ (ungkapan penghinaan kepada orang berkulit hitam) minggu lalu masih terngiang-ngiang di telinganya.





Penyerang 26 tahun kelahiran Liberia itu berkata, jika ditanya pendapat peribadinya, dia sudah tawar hati untuk berkunjung ke Singapura lagi, namun sebagai pemain bola sepak profesional, dia terpaksa menunaikan tanggungjawabnya.

“Pihak pengurusan ada memberitahu saya yang Persatuan Bola Sepak Singapura akan memastikan perkara sama tidak akan berulang namun saya percaya tidak semudah itu untuk mereka mengawal tutur kata dan tingkah laku penyokong pasukan mereka.


“Cuma kali ini, saya akan cuba untuk tidak menghiraukan apa jua kutukan mereka kepada saya kerana saya tidak mahu permainan saya terganggu memandangkan perlawanan ini amat penting buat Terengganu,” katanya.



Cuma, kata Doe lagi, dia berharap penyokong Tampines Rovers tidak sama dengan penyokong LionsXII yang berlaku biadap kepadanya.

“Sekiranya kumpulan berkenaan berlainan, ada kemungkinan saya tidak diganggu dan itu akan memudahkan tugas saya untuk membantu pasukan mencari kemenangan kedua kami dalam saingan Piala AFC ini.




“Namun, walau apa pun yang terjadi, saya berjanji akan menutup telinga saya terhadap segala kejian yang mungkin akan dilontar kepada saya dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perlawanan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih, Mat Zan Mat Aris, gembira kerana mendapat kembali khidmat Doe yang tidak beraksi ketika Terengganu seri 0-0 dengan Johor FC di Kuala Terengganu, Sabtu lalu akibat digantung satu perlawanan.


“Seperti yang dapat dilihat ketika menentang Johor FC, kami amat memerlukan Doe kerana Manaf (Mamat) yang masih mengalami kecederaan pergelangan kakinya dan Hadi (Yahya) yang masih belum bermain dengan baik.


“Kami faham yang Doe masih terganggu emosinya akibat dihina oleh penyokong Singapura namun kami mengharapkan yang dia dapat melupakan episod buruk itu dan menumpukan perhatian kepada perlawanan yang bakal menentukan hala tuju kami dalam saingan Piala AFC ini,” katanya.


Terengganu masih berpeluang untuk mara ke pusingan kedua selepas menang ke atas Song Lam Nghe An di Vietnam dan tewas kepada kelab Hong Kong, Kitchee, di Kuala Terengganu.


“Tampines Rovers tumpas kedua-dua perlawanan mereka setakat ini dan sekiranya kami berjaya menewaskan mereka di Singapura dan di tempat sendiri nanti, peluang kami untuk ke peringkat seterusnya akan terbuka luas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...