Wednesday, April 4, 2012

Arema FC sukar ramal peluang


Harian Metro

KETUA jurulatih Arema FC dari Indonesia, Dejan Antonic mengakui tidak mengetahui kekuatan dan corak sebenar permainan pasukan Kelantan yang akan dihadapi pasukannya dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.


Bagaimanapun, jurulatih berasal dari Serbia-Montenegro itu menganggap perlawanan di tempat lawan yang diketahui mempunyai ramai penonton tempatan tidak akan menjejaskan tumpuan barisan pemainnya untuk berdepan cabaran tuan rumah.


“Sukar untuk saya meramalkan peluang kami kerana perlawanan ini sudah tentu memberi kelebihan kepada Kelantan selaku tuan rumah. Saya akui masih kurang memahami corak permainan Kelantan tetapi saya harap kesebelasan utama Arema FC mampu bermain dengan tenang bagi menghadapi cabaran pasukan tuan rumah,” katanya pada sidang media di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, semalam.




Turut hadir, ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak dan kapten Red Warriors, Mohd Badhri Radzi serta ketua pasukan Arema FC, Legimin Raharjo.

Antonic berkata, beliau yakin dengan kemampuan pasukannya yang turut dibarisi tiga pemain kebangsaan Indonesia, Gunawan Dwi Cahyo, Aji Saka dan Fariz Bagus Dhinata selain semua pemain yang disenaraikannya bebas daripada sebarang kecederaan.


“Apa yang saya tahu semua pasukan dalam Kumpulan H ini sangat bagus dan kami tidak dapat tahu boleh menang atau kalah. Arema FC dan Kelantan sudah melalui dua perlawanan dan masing-masing seri sekali dan satu kalah. 



Jadi, kami lihat persamaan daripada keputusan perlawanan sebelum ini,” katanya. Bagi Hodak, beliau menganggap peluang sepatutnya berpihak kepada pasukannya yang beraksi di gelanggang sendiri dan berharap Kelantan mampu mengutip tiga mata.




Sehubungan itu, beliau mengharapkan penyokong Kelantan dapat memberikan sokongan padu dan menyaksikan perlawanan itu dengan penuh semangat kesukanan.

Dalam pada itu, Mohd Badhri atau Piya pula mengharapkan rakan sepasukannya beraksi sebaik mungkin dan mempamerkan kesungguhan bagi mencapai kemenangan terutama sebagai hadiah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...