Wednesday, April 4, 2012

Hamidan mohon kekal bersama Kedah


Harian Metro

PENYERANG import Kedah, Hamidan Mohamed memohon supaya dia diberi peluang oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk terus beraksi bersama pasukan Hijau Kuning sehingga akhir musim ini selepas menjaringkan empat gol menerusi dua perlawanan lalu.


Menurut pemain berasal dari Ghana itu, dia memang sedih apabila mengetahui KFA membawa tiga pemain dari Zambia, Croatia dan Ivory Coast untuk menentukan nasib mereka bersama Kedah bagi menggantikan tempatnya, tetapi dia menerima hakikat itu dengan hati terbuka.


“Kalau KFA mahu menamatkan kontrak saya, bukan saya dapat buat apa-apa kerana saya faham niat mereka, mahu mencari penyerang yang mampu menjaringkan gol.




“Ketika ini saya sudah dapat menjaringkan empat gol, dua ketika beraksi pada suku akhir Piala FA dan dua sewaktu bertemu Perak pada Liga Super. Saya kini berada dalam keadaan terbaik dan yakin mampu menjaringkan gol lagi apabila bertemu Felda United nanti,” katanya.

Katanya, ketika gagal menjaringkan dia menghubungi ibunya Munirah Idris di Ghana dan beliau menyuruhnya bersabar dan berdoa agar Allah dapat memudahkannya menjaringkan gol.


“Selepas menjaringkan dua gol ketika bertemu T-Team, saya terus menghubungi ibu saya dan beliau begitu gembira. Dua jaringan di Kuala Terengganu dan dua di Stadium Darulaman membuktikan kini saya sudah dapat memahami corak permainan rakan sepasukan lain. Saya berpuas hati kerana dapat membuktikan saya seorang penyerang yang mampu menepati sasaran ketika berpeluang melakukannya.





“Saya harap ketua jurulatih, (Wan Jamak Wan Hassan) dan pengurus pasukan (Datuk Khazali Din) akan memberi peluang kepada saya untuk terus menyarung jersi Hijau Kuning sehingga akhir musim ini,” kata Hamidan.

Ketika menjalani ujian sewaktu bertemu UiTM Arau yang dibimbing bekas pemain Kedah, Manja Man di Universiti Utara Malaysia (UUM) kelmarin, ketiga-tiga pemain dari Zambia, Croatia dan Ivory Coast itu gagal mempamerkan permainan berkesan untuk memikat hati Wan Jamak, sekali gus kemungkinan besar hakikat mendorong ketua jurulatih dan pengurus pasukan untuk terus mengekalkan Hamidan sebagai penyerang mereka sehingga akhir musim ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...