Wednesday, April 4, 2012

LionsXII rampas takhta liga


Harian Metro

LIONSXII berjaya merampas kedudukan Liga Super daripada Kelantan selepas pasukan dari Singapura itu menewaskan Negeri Sembilan 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam.


Tiga mata yang dikutip di gelanggang lawan itu membolehkan skuad kendalian V Sundramoorthy mengumpul 27 mata, satu mata mengatasi Kelantan yang beraksi kurang dua perlawanan berbanding LionsXII.


Aksi babak pertama menyaksikan pintu gol tuan rumah dibolosi tiga kali bermula dengan jaringan pada minit ke-15 apabila pemain pertahanan Safuwan Baharudin merembat masuk bola pada jarak dekat selepas menerima bola lontaran ke dalam, Madhu Mohana.




Kesilapan pemain pertahanan Negeri Sembilan, G Mahathevan yang terjatuh di luar kotak penalti pantas dihukum Khairul Nizam yang kemudian menggelecek penjaga gol, Mohd Farizal Marlias untuk meledak gol kedua LionsXII lima minit kemudian.

Mahathevan seakan-akan mahu menebus kesilapan itu dengan menjaringkan gol pada minit ke-32 selepas penjaga gawang pasukan pelawat, Hyrulnizam Jumaat gagal mengeluarkan bola sepakan sudut.


Namun LionsXII kembali menjarakkan kedudukan apabila menyumbat gol ketiga, kali ini giliran kapten, Shahril Ishak mencipta nama selepas menyambar bola tandukan lemah Mahathevan pada minit ke-42.





Ketika anak buah jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah cuba bangkit memburu gol, mereka dikejutkan dengan serangan pantas LionsXII menerusi gerakan Hariss Harun dari sebelah kanan yang melorongkan bola untuk Shahdan Sulaiman menolak masuk gol keempat pada minit ke-70.

Bagaimanapun Negeri Sembilan yang kini menghuni tangga kelima liga berjaya juga menembusi gawang LionsXII menerusi tandukan kapten, Muhammad Shukor Adan di minit ke-86 sebelum terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Farizal dilayangkan kad merah kerana mengasari Hariss.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...