SENTUHAN ‘samba’ yang sering diperagakan Andre Francisco Rocha Da Silva atau lebih mesra dengan panggilan Andrezinho ketika beraksi di padang sentiasa memukau pasukan lawan yang terperangkap dengan helah dan hantaran bola mengelirukan serta larian pantas pemain itu.
Walaupun memiliki tubuh kecil namun kelicikan Andrezinho melakukan umpanan tepat kepada rakan sentiasa memberi impak kepada skuad Johor yang memang beruntung memiliki pemain yang mampu mengemudi jentera tengah dengan konsisten.
Malah pemain berusia 36 tahun yang pernah beraksi bersama kelab Ferencvarosi TC di Liga Hungary sebelum menjejakkan kaki untuk menyarung jersi Johor bagaikan aset penting buat skuad bergelar Jengking kerana kelibatnya tatkala beraksi di padang bagaikan seorang jeneral apabila kerap memberi arahan kepada rakan sepasukan pada setiap perlawanan diharungi biarpun tidak memakai lilitan selaku kapten.
“Dalam bola sepak kita tidak harus beraksi tanpa berinteraksi di padang kerana ia penting memandangkan ada pemain berada dalam keadaan leka atau kurang bersedia, justeru kita perlu beri arahan dan saya sendiri sedia ditegur rakan sepasukan jika leka dalam permainan.
“Kali pertama menjejak kaki ke Johor pada 18 Februari lalu dan mula berlatih bersama pasukan, saya sudah mula rasa penerimaan rakan sepasukan dan situasi itu cukup melegakan kerana semua pemain dalam skuad Johor begitu akrab dengan saya.
“Yang penting, saya menghormati mereka dan pemain lain juga menghormati saya malah kita sering berkomunikasi antara satu sama lain bagi mencari jalan untuk dapat membantu menguatkan skuad Johor menghadapi kempen Liga Perdana dan seterusnya berusaha menempatkan diri dalam pemburuan slot ke Liga Super musim depan,” katanya.
Mengulas persembahan Johor dalam kancah Liga Malaysia, Andrezinho mengaku barisan pemain sedia ada boleh dianggap mantap malah selaku pemain profesional yang diamanahkan beraksi bersama skuad Jengking, beliau perlu positif dan cuba beri yang terbaik demi kemajuan pasukan itu.
Beliau juga menegaskan betapa kerjasama dari rakan sepasukan amat penting seandainya ingin melihat skuad Jengking kembali menyengat selepas di awal musim aksi kurang konsisten diperagakan sehingga meletak skuad itu berada di kelompok bawahan liga dan kemenangan 4-1 ke atas Majlis Perbandaran Muar, kelmarin menjadi pencetus semangat kebangkitan Johor pada aksi seterusnya.
“Kesangsian itu berakhir apabila masih bermain di fikiran saya dan sebelum mengambil kata putus untuk beraksi bersama Johor, saya melayari laman internet dan mendapat informasi tentang bola sepak Malaysia yang menarik , rupanya apa yang saya fikirkan jauh meleset sebaliknya bola sepak di Malaysia begitu maju dan mendapat sambutan hangat penonton,” katanya.
“Sebaik melangkah kaki ke Johor dan berjumpa dengan Fandi, saya diberi informasi terkini berhubung prestasi pasukan itu dan seperti yang saya katakan selaku pemain profesional tanggungjawab harus dipikul dan cuba beri yang terbaik demi meningkatkan prestasi Johor yang saya mendapat tahu pasukan itu pernah menjulang kejayaan merangkul kejuaraan ketika zaman 80an,” katanya.
Andrezinho yang sudah mula menemui sentuhan jaringan ketika mencipta satu gol membantu Johor menewaskan MP Muar 4-1, kelmarin mula menanam hasrat menjaringkan gol pada setiap perlawanan dalam usaha membantu Johor mencatat kemenangan dalam setiap aksi Liga Perdana.
Malah beliau berharap kesemua pemain skuad Jengking bangkit dan beri komitmen tinggi untuk menjulang semula nama Johor selaku pasukan yang disegani dan mampu melonjakkan pasukan itu ke kelompok teratas liga walaupun sedar tampak sukar selepas masih berada di kelompok bawahan liga.
“Perjalanan liga masih panjang tapi kita tidak boleh ambil mudah dan semestinya setiap perlawanan diharungi perlu ada objektif iaitu kemenangan dan saya pasti rakan sepasukan juga tidak mahu melihat prestasi Johor terumbang-ambing demi mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor,” ujar Andrezinho.
No comments:
Post a Comment