PENGURUS Perak, Khairul Azwan Harun perlu bertindak segera bagi menyekat kemerosotan Seladang yang melalui lima perlawanan tanpa kemenangan dalam kancah Liga Super 2012.
Ketika pasukan lain menunjukkan peningkatan selepas permulaan goyah Perak pula sebaliknya sekadar mampu meraih satu mata daripada lima perlawanannya.
Terbaru, kekalahan 0-3 kepada pasukan yang ternyata semakin meningkat, Kedah di Alor Setar, Jumaat lalu.
Pada perlawanan itu Perak tumpas kepada dua jaringan pemain import Kedah, Hamidan Mohammed serta satu jaringan sendiri Syazwan Roslan.
“Kami tumpas kerana gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol. Manakala gol sendiri itu merentap semangat dan keyakinan pasukan,”kata Azwan.
Pada masa sama, pengurus Perak itu mengakui beberapa pemain Perak beraksi di bawah tahap sebenar termasuk dua pemain import, Lazar Popovic dan Michal Kubala.
Popovic beraksi dalam perlawanan terakhir untuk Perak pada perlawanan dengan Kedah itu kerana dikatakan sudah diberi notis oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) gagal menjadikan perlawanan terakhir itu sesuatu yang istimewa.
Berikutan itu Azwan mengakui akan bertindak bagi menyekat kemerosotan Perak yang turut menghakis keyakinan peminat setia terhadap keupayaan mereka.
No comments:
Post a Comment