Friday, March 25, 2011

Asra mahu lepas geram

GAGAL mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Liga Super Selangor membuatkan Asraruddin Putra Omar bertekad mempamerkan kemampuan sebenar apabila beraksi untuk skuad kebangsaan.
Bersama Selangor, Asraruddin terpaksa mengalah kerana posisi pertahanan kiri diisi pemain lebih senior, P. Gunalan yang mendapat kepercayaan jurulatih, K. Devan.
Namun, pemain berusia 23 tahun itu di- jangka tetap diletakkan dalam kesebelasan utama apabila skuad kebangsaan berdepan kelab Perancis, Etoile FC di Stadium Jalan Besar, Singapura malam esok.
Menurut As- raruddin, perlawanan menentang juara bertahan Liga Singapura itu akan dijadikan persiapan awal sebelum mereka menghadapi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 dan beberapa aksi persahabatan Julai depan.
"Dapat berdepan pemain-pemain dari Perancis ini bagus sebagai perlawanan pendedahan sebelum kami beraksi pada Kela- yakan Piala Dunia serta aksi bertemu Chelsea, Liverpool dan Arsenal nanti.
"Bagi diri sendiri pula, saya akan guna peluang ini sepenuhnya. Memang tak puas beraksi apabila hanya diletakkan di bangku simpanan bersama Selangor.
"Apa pun saya sentiasa berusaha keras sepanjang latihan untuk mengekalkan tahap kecergasan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Skuad kebangsaan menjalani latihan terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam sebelum berlepas ke Singapura pagi ini dengan kesemua 24 pelatih akan dibawa oleh jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal.
Asraruddin turut berasa bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada 'penyumbang' tabung amal mangsa tsunami di Jepun memandangkan kutipan tiket pertemuan dengan Etoile FC malam esok akan disalurkan ke tabung itu.
"Sebagai pemain, inilah sebahagian sumbangan kecil yang dapat kami hulurkan. Diharapkan para penyokong Malaysia yang berdekatan terutama di Johor dapat hadir ke Stadium Jalan Besar.
"Sambil menyokong pasukan kebangsaan, dapat juga kita sama-sama menderma kepada mangsa-mangsa tsunami di Jepun ini," jelasnya.
Ditanya tentang permukaan rumput tiruan di Stadium Jalan Besar, Asraruddin berkata: "Itu bukan masalah, kerana di Wisma FAM pun kami berlatih di atas rumput tiruan. Kebanyakan pemain juga pernah beraksi di stadium tersebut."

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...