Wednesday, March 23, 2011

Ketepi tawaran

BEKAS pengendali Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan belum mahu memikirkan mengenai pembabitannya dalam bidang kejurulatihan dalam tempoh terdekat walaupun mengakui menerima tawaran daripada pengurusan pasukan tertentu.
Sebaliknya, bekas jurulatih kebangsaan itu mahu memberikan tumpuan kepada keluarga dan menyelesaikan beberapa masalah sebelum pulang ke Johor.

Tambahan pula katanya, tawaran diterima daripada pasukan itu memerlukan dia membuat keputusan cepat yang mungkin mengganggu urusan keluarganya.


“Bohong kalau saya katakan tidak menerima sebarang tawaran, memang saya ada menerima tawaran tapi buat masa ini saya perlu tumpukan kepada kepentingan keluarga terutama persekolahan anak-anak kerana jika mereka ditukarkan sekolah mungkin mengganggu pelajaran mereka,” katanya di Seremban, semalam.

Wan Jamak meletak jawatan Khamis lalu kerana bertanggungjawab atas kemerosotan prestasi pasukan apabila gagal mempertahankan Piala FA selain hanya meraih tiga kemenangan daripada lapan perlawanan Liga Super setakat ini.


Bagaimanapun, sepanjang bersama Negeri Sembilan, beliau berjaya melakar sejarah tersendiri apabila membawa pasukan itu menjulang Piala Malaysia musim 2009 selepas menunggu selama 61 tahun selain merangkul Piala FA musim 2010.



Menurutnya, dia juga belum menemui Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan, sebaik mengemukakan surat peletakan jawatannya itu.

Beliau sedang menunggu tarikh sesuai untuk menemui Mohamad sebaik pulang menunaikan umrah.




“Saya harap dapat bertemu Menteri Besar sebaik beliau pulang mengerjakan umrah,” katanya yang enggan mengulas mengenai pelantikan Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai ketua jurulatih baru skuad Hobin Jang Hobin.

Kelmarin, Mohd Azraai yang juga bekas ketua jurulatih Kedah dan Harimau Muda A dilantik sebagai penggantinya bagi mengharungi baki saingan Liga Super yang ketika ini berhenti sementara bagi memberi laluan kepada saingan Piala FA dan kembali bersambung 2 April ini.


Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Abd Halim Abd Latif melahirkan penghargaan kepada Wan Jamak atas sumbangan cemerlangnya sepanjang membimbing Negeri Sembilan terutama kejayaan menjulang Piala Malaysia dan Piala FA.


“Saya bagi pihak pegawai dan kakitangan PBNS mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Wan Jamak yang membawa Negeri Sembilan ke tahap yang dihormati,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...