Friday, March 18, 2011

Azraai dilamar Perlis, N. Sembilan

KUALA LUMPUR - Misteri dua pasukan yang melamar bekas pengendali Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah akhirnya terjawab apabila mengesahkan dia mendapat tawaran Negeri Sembilan dan Perlis.

Azraai menegaskan, dia masih mempertimbangkan tawaran daripada kedua-dua pasukan itu sebelum menyatakan sebarang keputusan.

"Memang diakui saya telah mendapat tawaran dari Negeri Sembilan dan Perlis untuk menjadi jurulatih sejak saya dibebaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

''Namun, kedua-dua persatuan bola sepak negeri masih belum memanggil saya untuk duduk semeja dan berbincang secara mendalam mengenai tawaran serta kontrak yang ditawarkan.

"Semuanya hanya perbincangan menerusi telefon.

"InsyaAllah mungkin dalam penghujung minggu ini saya akan menyatakan pasukan yang menjadi pilihan saya selepas memperhalusi semua perkara, " katanya ketika dihubungi semalam.

Negeri Sembilan menjadi pasukan terbaru selepas Perlis dan Kedah yang kehilangan jurulatih musim ini, apabila Wan Jamak Wan Hassan membuat keputusan meletak jawatan jurulatih.

Serentak itu juga nama Azraai pantas dikaitkan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Azraai yang masih menetap di Alor Star, mengakui masih terlalu awal untuk menyatakan sebarang kemungkinan.

"Kalau ikutkan memang Perlis lebih dekat dengan rumah saya, tetapi itu bukan perkara utama yang menjadi pertimbangan.

"Saya akan tengok segala aspek dan tidak mahu terburu-buru menyatakan jawapan.

"Bagaimanapun, saya sudah bersedia membuat kemunculan semula di Liga Malaysia setelah sekian lama berehat, " katanya.

Sebelum ini, Mohd Azraai turut dikaitkan untuk kembali untuk membimbing skuad Kedah.

Azraai meninggalkan skuad Hijau Kuning pada 2009 dan kemudian dilantik sebagai jurulatih skuad Bawah 21 negara, Harimau Muda A.

Kedah juga terdesak mencari jurulatih baru apabila pihak pengurusan merehatkan jurulatih Ahmad Yusof dan melantik penolong jurulatih Radhi Mat Din sebagai pemangku jurulatih.

Ahmad Yusoff direhatkan ekoran peminat Kedah melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pasukan mereka yang tersingkir daripada saingan awal Piala FA.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...