Saturday, March 26, 2011

Eksperimen Rajagobal

ATUR STRATEGI...Rajagobal (kanan) serius mengendalikan latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Etoile FC.
ATUR STRATEGI...Rajagobal (kanan) serius mengendalikan latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Etoile FC.




KETUA jurulatih kebangsaan, K Rajagobal pastinya mahu memperjudikan nasibnya dengan menyenaraikan beberapa pemain utama yang tersisih daripada skuad kebangsaan sebelum ini termasuk menguji dua pemain yang baru dipanggil apabila menentang Etoile FC di Stadium Jalan Besar, Singapura pada malam ini.
Ini kerana keputusan perlawanan tidak akan menjejaskan ranking skuad kebangsaan di dunia kerana ia bukanlah kategori A dan ia juga dilapor sebagai salah satu perlawanan amal di mana hasil kutipan tiket disumbangkan kepada mangsa tsunami dan gempa bumi di Jepun baru-baru ini.
Jurulatih yang membimbing skuad kebangsaan memenangi Piala Suzuki AFF 2010 dan pingat emas Sukan Sea 2009 itu pastinya teruja untuk menguji beberapa pemain utama yang dilanda kecederaan sebelum ini seperti Baddrol Bakhtiar, S Chanturu dan Mohd Azmi Muslim.

Selain itu, kelibat dua pemain yang baru dipanggil oleh Rajagobal iaitu Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Azidan Sarudin juga pasti menjadi tumpuan sekiranya diturunkan kerana ia kali pertama mereka menyarung jersi kebangsaan.


Kudrat Azidan mungkin diuji untuk bergandingan bersama-sama kapten kebangsaan, Mohd Safiq Rahim di jentera tengah kerana Rajagobal dilihat masih mencari pemain berkebolehan untuk berada di posisi pemain tengah bertahan walaupun sebelum ini sering kali digalas Amar Rohidan dan K Gurusamy.

Saingan dua posisi pertahanan tengah tampak lebih menarik apabila empat pemain bersaing termasuk Mohd Rizal Fahmi bagi membentuk benteng ampuh di hadapan penjaga gol kebangsaan yang sedang meningkat naik, Khairul Fahmi Che Mat.


Selain gandingan Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas yang membawa kejayaan di Piala Suzuki AFF penghujung tahun lalu, bekas kapten kebangsaan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak turut bersaing merebut kembali posisi yang menjadi miliknya sebelum ini.




“Memang di kalangan tiga pemain ini, saya cetek pengalaman di peringkat antarabangsa ditambah dengan dua kejayaan besar di mana mereka adalah antara tonggak utama pasukan.

“Saya anggap perlawanan ini sebagai peluang terbaik untuk memikat hati jurulatih negara bagi menyarung jersi kebangsaan selepas ini terutamanya menjelang kelayakan Piala Dunia 2014 pertengahan tahun ini,” kata Mohd Rizal Fahmi yang beraksi untuk pasukan Kelantan.



Skuad kebangsaan diharap meneruskan rentak kemenangan ke atas kelab Perancis yang beraksi di Liga Singapura itu selepas berjaya menewaskan Hong Kong 2-0 pada bulan lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...