Sunday, March 27, 2011

Keyakinan kunci kejayaan Rizal Fahmi: Karathu

PRESTASI cemerlang pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini berjaya menarik minat pengendali kebangsaan, K Rajagobal memilih beberapa pemain dari negeri itu. 

Selain khidmat penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain penyerang, Norshahrul Idlan Talaha yang terlebih dulu menyarung jersi pasukan negara, kini giliran Rizal Fahmi Abdul Rosid diberi peluang sama. 

Ketua jurulatihnya, Datuk M Karathu berkata, Rizal Fahmi pemain yang begitu berdisiplin dan amat komited setiap kali mewakili pasukan. 

Katanya, aksi kentalnya di atas padang memberi kelebihan buatnya terpilih menganggotai skuad kebangsaan kali ini. 

“Peluang menyarung jersi kebangsaan menjadi idaman kepada mana-mana pemain. Saya berharap, Rizal Fahmi dapat menggunakan peluang sebaik mungkin ketika bersama skuad kebangsaan. 

“Pengalaman beraksi menentang pasukan luar negara dapat mendedahkannya kepada corak permainan sebenar bola sepak,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian,: semalam. 

Menurut Karathu, Rizal Fahmi menjadi pilihan utama untuk diturunkan musim ini kerana keyakinan dipamerkan pemain itu selain tenang ketika mengemudi barisan pertahanan tengah Kijang. 

“Dia yakin dalam menahan asakan pemain lawan dan itu adalah kunci kepadanya untuk terus berada dalam kesebelasan utama Kelantan kali ini,” katanya. 

Sementara itu, Karathu merancang mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan sebuah pasukan tempatan 28 Mac ini. 

Katanya, perlawanan itu sebagai rangka persiapan pasukan Kelantan kerana tiada aksi kompetitif sehingga akhir bulan ini. 

Kempen Liga Super kembali bersambung Jumaat ini dengan anak buah Karathu menerima kunjungan Harimau Muda A di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu, 1 April ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...