Sunday, March 27, 2011

PFA menaruh harapan bawa Wan Jamak ke Perlis

BIARPUN mengakui Perlis bukan sebuah pasukan 'hebat' dalam aksi Liga Malaysia musim ini, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) tetap menaruh harapan untuk mendapatkan khidmat bekas pengendali Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan. 

Pengurus Perlis, Azhar Ahmad berkata, pihaknya mengharapkan bekas pengendali skuad kebangsaan dan juara Piala FA dan Piala Malaysia, Negeri Sembilan itu, dapat memberi jawapan dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, Wan Jamak adalah antara beberapa jurulatih yang mendapat perhatian pengurusan untuk menggantikan Mosthakeen Omar yang melepaskan jawatan ketua jurulatih Singa Utara 1 Mac lalu.


“Wan Jamak adalah antara beberapa nama yang menjadi tumpuan kami untuk dilantik menggantikan Mosthakeen Omar. Kami sudah berunding dengannya (Wan Jamak) tetapi setakat ini, belum mendapat sebarang jawapan,” katanya. 

Wan Jamak melepaskan jawatan selaku pengendali skuad Hobin Jang Hobin selepas menerima desakan daripada pelbagai pihak berikutan kegagalan Negeri Sembilan pada saingan Piala FA, minggu lalu dan tempatnya kini diganti bekas pengendali skuad kebangsaan, Azraai Khor Abdullah yang pernah melatih Kedah menjulang gelaran trebel dua tahun berturut-turut. 

Azhar berkata, selain Wan Jamak, PFA turut berminat mendapat khidmat bekas pengendali Kedah yang direhatkan, Ahmad Yusoff. 

Perlis kini dikendalikan bekas tonggak pertahanan negeri itu, Salim Tofel Mohamad dan dibantu Azamri Zali bagi menghadapi kempen Liga Super yang disambung semula 2 April ini. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...