Tuesday, March 22, 2011

Singa Utara belum putus asa

BIARPUN terperosok di tangga terbawah Liga Super berikutan prestasi kurang memberangsangkan, pengurusan Perlis tidak berputus asa dan percaya keupayaan pasukan itu untuk bangkit selepas ini.
Malah, bekas juara dua kali Piala Malaysia itu yang bergantung kepada hampir 100 peratus tenaga muda itu memerlukan sedikit masa lagi untuk keluar dari kelompok dasar liga.

Pengendali baru, Salim Tofel Mohamad berkata, keyakinan itu berdasarkan peningkatan persembahan selepas mengharungi tujuh perlawanan utama iaitu enam Liga Super dan satu Piala FA.



Salim Tofel diberi kepercayaan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menggantikan Mosthakeen Omar yang meIepaskan jawatan ketua jurulatih, 1 Mac lalu.

“Perlis memiliki banyak kekurangan berbanding pencabar lain yang dibarisi ramai pemain berpengalaman dan bertaraf bintang.


“Pasukan ini memerlukan masa untuk menimba pengalaman sebelum berjaya menempatkan diri antara pasukan pencabar pada aksi Liga Super musim ini,” katanya.





Selepas menamatkan enam perlawanan pusingan pertama Liga Super, Perlis belum mencatat kemenangan dan sekadar meraih dua mata selepas seri dua kali. Mereka juga tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Felda United di pusingan pertama pada 19 Februari lalu.

Apabila saingan Liga Super disambung 2 April ini, Perlis bakal menanti kunjungan Johor FC di Kangar.




Salim yang pernah menjadi jurulatih Singa Utara pada 2001 dan 2002 berkata, bagi memastikan pasukan mampu tampil dengan aksi mantap, tempoh rehat itu digunakan sebaiknya bagi menangani segala kelemahan.

“Menerusi bedah siasat, beberapa kelemahan boleh diperbaiki,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...