Tuesday, March 22, 2011

Tidak pandang rendah Etoile FC

PETALING JAYA - Walaupun lawan bukan skuad yang berstatus kebangsaan, jurulatih negara, K. Rajagobal enggan memperlekehkan cabaran yang akan diberikan oleh pasukan berstatus kelab dari Perancis yang beraksi di Liga Singapura, Etoile FC menjelang perlawanan persahabatan, 26 Mac ini.

Tambahan pula kelab tersebut membawa status selaku juara Liga Singapura (Liga S) pada musim lalu, Rajagobal sedar Etoile FC bukanlah calang-calang lawan dan bakal mudah dijinakkan.

''Memandangkan sebahagian besar pemainnya dari Perancis, mereka jelas mempunyai kekuatan daripada segi fizikal dan juga teknikal berbanding kita.

''Walaupun kita tidak dapat berdepan dengan mana-mana pasukan berstatus kebangsaan, saya tetap anggap Etoile FC antara lawan berkualiti jika diambil kira pencapaian mereka di Liga Singapura," katanya yang ditemui pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Sebanyak 24 pemain mendaftarkan diri pada sesi latihan kebangsaan yang berjalan selama seminggu dengan dua muka baru mendapat tempat, Azidan Sarudin (Selangor) dan Mohd. Rizal Fahmi Rosid (Kelantan).

Harimau Malaya bakal berdepan Etoile FC di Stadium Jalan Besar pada pukul 8 malam, Sabtu ini dan akan bertolak ke Singapura pada 25 Mac.

Rajagobal turut mendedahkan bahawa kualiti yang terdapat pada Azidan dan Rizal membuatkan dia berasa terpanggil mahu menguji kedua-dua pemain berkenaan dan adalah sesuatu yang tidak adil jika tidak memberikan mereka peluang.

''Azidan walaupun bukan pemain utama dalam kesebelasan Selangor tetapi dia mempunyai teknik yang baik daripada segi hantaran dan sumbangan kepada pasukan sementara Rizal cukup agresif serta konsisten ketika beraksi bersama Kelantan.

''Polisi saya dalam membawa masuk muka baru adalah untuk melihat sama ada mereka mampu menyesuaikan diri dengan corak pasukan kebangsaan selain melihat kesungguhan mereka untuk mewakili negara," ujarnya.

Rajagobal dalam pada itu membayangkan dia tidak meletakkan sebarang sasaran menjelang kelayakan Piala Dunia 2014 sambil menjadikan layak ke Piala Asia 2015 sebagai misi utama.

''Kita kena realistik kekuatan kita, sedangkan kita mahu layak di kalangan 16 pasukan Asia pun sukar, bagaimana kita mahu melangkah jauh dalam kelayakan Piala Dunia?

''Saya hanya mahu melangkah sejauh yang mana kita mampu dalam kelayakan Piala Dunia dan berharap kita mampu mencapai sesuatu," katanya.

Skuad negara menjalani latihan sebagai persediaan perlawanan persahabatan menentang kelab Perancis, Etoile FC yang bersaing dalam Liga Singapura pada 26 Mac ini, selepas melaporkan diri di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia di Kelana Jaya, semalam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...