PEMAIN Perak, Isma Alif Md. Salim (tengah) dikerumuni rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol pertama pada aksi Piala FA menentang Terengganu di Stadium Perak, Ipoh, Selasa lalu. |
JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti mula merasai debaran sebenar menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Perak malam ini.
Atas kertas, skuad kendalian Irfan memiliki laluan cerah untuk berada dalam kelompok empat terbaik berdasarkan jaringan di tempat lawan.
Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, Selasa lalu, Terengganu berjaya menjaringkan dua gol sekalipun tewas 2-3 kepada Perak.
Malam ini, di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad Penyu itu hanya memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan 1-0 untuk mara ke separuh akhir.
Namun bagi Irfan, beliau tidak terlalu memikirkan soal jumlah jaringan asalkan anak-anak buahnya layak dalam kelompok empat terbaik.
"Kalau tengok kepada keputusan di Ipoh lalu, memang kita memiliki peluang untuk mara ke separuh akhir.
"Kami akan beraksi di hadapan penyokong sendiri dan sudah pasti kelebihan akan memihak kepada pasukan Terengganu," jelas Irfan kepada Kosmo! semalam.
Tambah bekas pengendali Perlis itu, beliau juga tidak mahu memberi tekanan kepada anak-anak buahnya untuk mencatat kemenangan besar.
"Tidak kira apa keputusan, yang penting kita layak. Saya hanya mahu melihat pasukan ini mara ke separuh akhir seperti mana yang kami lakukan musim lalu," katanya.
Mengulas mengenai barisan pemain, Irfan berkata, beliau akan me- nurunkan skuad terbaik pada aksi genting malam ini.
Katanya, kewibawaan Perak yang masih kekal dengan rekod tanpa kalah musim ini sebenarnya tidak boleh dipandang mudah oleh bari- san pemainnya.
"Saya mahu pemain memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya sepanjang permainan.
"Setiap peluang untuk menjaringkan gol perlu digunakan sepenuhnya bagi memberi kelebihan kepada pasukan," jelasnya lagi.
Sebagai percaturan, Irfan bakal menyenaraikan rangkaian penyerang terbaik seperti Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya di barisan hadapan.
Ashaari Samsuddin dan Ismail Faruqi pula dijangka mengetuai barisan tengah di samping dua pemain kelahiran Sarawak, Joseph Kalang Tie dan Reshafiq Alwi.
No comments:
Post a Comment