KUALA LUMPUR - Penantian akhirnya terjawab apabila lawan Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa 26 Mac ini bukan pasukan berstatus kebangsaan, sebaliknya hanya sebuah kelab iaitu dari Liga Singapura.
Biarpun nama kelab itu tidak diketahui, sumber mengesahkan perlawanan tersebut telah ditetapkan dengan gelanggang perlawanan adalah di Singapura.
Ia adalah perlawanan kedua buat skuad bimbingan K. Rajagobal musim ini, selepas menewaskan Hong Kong 2-0 di Stadium Shah Alam 9 Februari lalu.
Namun, apa jua keputusan perlawanan itu nanti, ia tidak memberikan kesan kepada ranking negara dalam kedudukan FIFA, kerana perlawanan itu tidak diiktiraf sebagai perlawanan persahabatan berdasarkan syarat yang dikenakan.
Menurut peraturan FIFA, hanya pertemuan antara negara dengan menggunakan skuad berkelas A (pasukan senior) sahaja akan diambil kira sebagai rekod di dalam kedudukan ranking.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berusaha sedaya upaya mengatur satu perlawanan berkualiti tinggi dengan menjemput beberapa pasukan dari Asia Barat seperti Iran, Oman dan Jordan namun tidak berjaya.
No comments:
Post a Comment