PERAK tidak akan terjebak dalam perangkap Terengganu yang cuba melakukan perang psikologi menjelang pertemuan suku akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu, malam ini.
Sebaliknya kapten Seladang, Sharulnizam Mustapha berkata, Perak akan berhabis-habisan mempertahan kelebihan 3-2 di Ipoh, Selasa lalu apabila berdepan skuad bimbingan Irfan bakti Abu Salim.
“Kami hadir dengan tekad mempamer permainan terbaik, tiada corak bertahan, sebaliknya kami akan memburu gol,” katanya.
Shahrulnizam yakin rakan sepasukan sudah bersedia melaksanakan segala perancangan ketua jurulatih Norizan Bakar bagi menjamin kemenangan walaupun tuan rumah pasti disuntik sorakan moral penyokong setia.
“Apa juga bentuk cabaran yang mereka lontarkan, kami akan sahut dan saya berharap rakan sepasukan cekal,” katanya yang menjangkakan sedikit rombakan pemain berikutan kecederaan salah seorang pertahanan negeri itu.
“Siapa juga yang diturunkan sudah bersedia melaksanakan strategi jurulatih, kami ada kelebihan dan saya yakin kami mampu melakukannya,” kata pemain tengah itu.
Menurutnya, tiada tekanan dirasai pemain kerana lawan yang perlu berhempas pulas untuk memadam defisit.
Namun Shahrulnizam mengakui tugas berat menanti pemain Perak kerana Terengganu diakui tidak mudah mengalah dan sebuah pasukan yang berbahaya dalam serangan balas pantas.
No comments:
Post a Comment