Wednesday, March 23, 2011

Radhi sedia undur diri

PEMANGKU Jurulatih Kedah, Radhi Mat Din tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan jawatan sekiranya masih menerima kecaman daripada pelbagai pihak yang cuba menjejaskan reputasinya. 

Radhi ternyata kecewa dengan tuduhan yang mengaitkan dirinya sebagai dalang sebenar kemerosotan prestasi skuad Hijau Kuning, musim ini. 

“Kalau ini yang mereka mahu, saya terpaksa akur. Cuma saya berharap segala tuduhan liar terhadap saya dihentikan,” katanya. 

Menurut Radhi, kehadirannya dalam skuad Kenari hanya bertujuan memantapkan pasukan, tidak lebih daripada itu. 

“Saya hanya menjalankan amanah yang diberikan majikan,” katanya. 

Prestasi skuad Kedah dalam kempen Liga Super kali ini agak hambar kerana hanya mencatat dua kemenangan dan tiga seri untuk mengumpul sembilan mata termasuk berputih mata dalam saingan Piala FA. 

Berikutan prestasi tidak menentu Kedah, penyokong mendesak ketua jurulatih Ahmad Yusof disingkirkan kerana gagal merancang taktikal pasukan walaupun dibarisi sebahagian besar pemain kebangsaan. 

Penyokong turut mendesak pengurus pasukan, Datuk Khazali Din segera meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik selain didakwa masuk campur dalam mengatur strategi pasukan. 

Bagaimanapun, Radhi meredakan tekanan penyokong setia Kedah apabila membimbing pasukannya hasil kemenangan mengatasi Terengganu 2-1 pada aksi liga, 12 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...