TIDAK tersenarai sebagai pasukan pilihan untuk muncul empat pasukan terbaik dalam saingan Piala FA musim ini, jurulatih Pahang, Dollah Salleh sudah membuktikan skuad kendaliannya itu mampu melakar kejayaan bagi menjulang piala berprestij itu.
Kejayaan layak ke separuh akhir Piala FA hasil kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada suku akhir, Jumaat lalu menyaksikan kebangkitan membanggakan yang dilakukan skuad itu.
Sejarah muncul juara Piala FA pertama kali pada 2006 diyakini mampu digapai berdasarkan prestasi semasa yang menunjukkan musim ini Pahang lebih bersedia mengharungi saingan getir.
Tidak hairanlah, Dollah berkata, pemainnya tidak harus melepaskan peluang melakar sejarah gemilang terutama menjulang piala berprestij itu buat kali kedua.
“Jika sebelum ini Pahang bukan pasukan pilihan tetapi kejayaan ini harus disambut gembira pemain yang bekerja keras untuk membuktikan kebangkitan bagi saingan Liga Malaysia musim ini.
“Kami sudah berada dalam kelompok empat pasukan terbaik dan tiba masanya pemain menggunakan peluang ini untuk membuktikan musim ini milik Pahang.
“Justeru, fokus utama saya selepas ini ialah memastikan prestasi dan komitmen pemain terhadap pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Berikutan kejayaan membanggakan itu, Dollah berharap prestasi lebih mantap dipersembahkan bukan saja Piala FA tapi juga di saingan Liga Super.
“Saya harap impian mengucup sekurang-kurangnya satu piala musim ini menjadi kenyataan,” katanya.
No comments:
Post a Comment