Menjelang pemilihan skuad kempen kelayakan Piala Dunia
"SIAPA lawan tidak penting kerana apa lebih penting bagi saya dalam perlawanan persahabatan ini ialah menguji pemain yang berpotensi merealisasikan impian Malaysia layak ke Piala Asia 2015,” kata jurulatih negara, K Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Singapura (Liga-S), Etoile FC di Stadium Jalan Besar, hari ini.
Menurut Rajagobal, selepas menundukkan Hong Kong 2-0 Februari lalu, dia perlu memastikan skuad kendaliannya sentiasa cergas dan perlawanan persahabatan malam ini menjadi sesi ujian penting menjelang pemilihan skuad mantap untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2014 Jun ini.
“Menerusi perlawanan begini, saya dapat menilai sejauh mana kesungguhan seseorang pemain untuk mewakili negara. Jika hanya pada perlawanan penting saja baru mahu bersungguh-sungguh, mereka tidak layak bergelar pemain kebangsaan,” katanya.
Etoile yang dibarisi sepenuhnya pemain berasal dari Perancis, adalah penyandang juara Liga-S tetapi kini menduduki tangga keempat carta liga selepas empat perlawanan.
Pemain tengah Etoile, Maxime Belouet adalah antara tonggak yang perlu diberi perhatian anak buah Rajagobal selepas meledak tiga gol manakala rakan penyerangnya, Jonathan Justin, dua gol.
Rajagobal menghimpunkan seramai 24 pemain untuk menjalani latihan pusat sejak Isnin lalu termasuk dua nama baru - Azidan Sarudin dari Selangor dan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid dari Kelantan - bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain menyarung jersi kebangsaan.
"Saya tidak mahu terikat dengan kelompok kecil pemain yang sama dalam membentuk pasukan kebangsaan,” kata Rajagobal yang membawa kesemua pemain Harimau Malaya ke Singapura bagi perlawanan persahabatan menentang kelab Liga-S itu kecuali penjaga gol simpanan, Mohd Farizal Marlias yang terpaksa diketepikan akibat jangkitan mata.
No comments:
Post a Comment