Wednesday, March 16, 2011

Felda kekang Wira Merah

KUALA LUMPUR - Sepakan penalti minit terakhir oleh Felda United menghampakan juara Piala Malaysia, Kelantan sekali gus mengikat tuan rumah 2-2 dalam perlawanan bola sepak suku akhir pertama Piala FA 2011 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.

Pendahulu Liga Super itu terlepas modal kemenangan dan kelebihan satu gol gara-gara kekasaran Farisham Ismail terhadap Ramesh Lai Ban Huat yang menghadiahkan sepakan itu untuk disudahkan pemain Felda United, Liew Kit Kong.

Malah pelawat mengejutkan Kelantan hasil tandukan masuk Zamri Chin pada minit ke-31 sebelum ketua pasukan tuan rumah, Badri Radzi menyamakan kedudukan menjelang waktu rehat disusuli gol kedua minit ke-70 oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Sementara itu, juara FA 2009, Selangor mencapai kemenangan agak selesa, 3-1 ke atas Johor hasil jaringan Hardi Jaafar, Rudie Ramli dan Amri Yahyah masing-masing pada minit ke-49, 55 dan 71 di Stadium Shah Alam.

Lawan dari Liga Perdana itu bagaimanapun tidak mudah menyerah lantas merapatkan kedudukan menerusi rembatan Mohd. Alif Mohd. Yusof pada minit ke-78 daripada umpanan sebelah kanan Norizam Salaman.

Perak pula masih belum begitu selesa biarpun berjaya menundukkan Terengganu 3-2 di Stadium Perak, Ipoh dengan jaringan Isma Alif Mat Salim (14), Mat Pazrul Hazli (79) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (82).

Abdul Manaf Mamat dan Reeshafiq Alwi memastikan pasukan pelawat dari Pantai Timur masih berpeluang dalam suku akhir kedua, Sabtu ini dengan gol masing-masing minit ke-40 dan ke-90.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Kuala Lumpur yang berstatus tuan rumah, sempat menyamakan jaringan menerusi Ahmad Azlan Zainal, minit ke-55 sebelum kecundang 2-1 dengan jaringan pemain Pahang, Famirul Asraf Sayuti (ke-29) dan Azamuddin Akil (ke-64).

Pemain Perak K. Nanthakumar (tengah) diasak pemain Terengganu, Hasmizan Kamarodin (kanan) dan Ahmad Nordin Alias pada perlawanan Piala FA di Stadium Perak, malam tadi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...