Thursday, March 24, 2011

Azizan akur keputusan Azraai

“ITU hak dia,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) ketika diminta mengulas tindakan Mohd Azraai Khor Abdullah bersetuju menjadi ketua jurulatih skuad Hobin Jang Hobin dan bukannya membimbing skuad Kenari seperti yang diuar-uar sebelum ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana Azraai memilih Negeri Sembilan dan bukannya Kedah.

“Dia berbuat demikian mungkin kerana menerima tawaran lebih baik, terpulang kepada dia. Itu hak dia memilih pasukan mana hendak dibimbingnya. Kami terpaksa menerima keputusan itu,” katanya. pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, semalam.


Isnin lalu, Azraai, 59, menerima tawaran Negeri Sembilan kerana komitmen tinggi pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) terutama Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hassan terhadap pasukan.

Azraai meninggalkan skuad Hijau Kuning pada 2009 dan dilantik sebagai jurulatih skuad bawah 21 tahun negara, Harimau Muda A.


Sepanjang khidmatnya dengan pasukan Kedah, beliau memiliki sentuhan emas dalam pentas domestik apabila membimbing Kedah menjuarai Piala FA pada musim 2006/2007 dan 2007/2008.




Sementara itu, Azizan berkata, Jawatankuasa Teknikal KFA sudah menyenarai pendek beberapa nama sebagai jurulatih baru Kedah yang akan diumum dalam tempoh terdekat ini.

“Kami sudah ada beberapa nama jurulatih bagi membimbing skuad Kenari ini. Ia belum diputuskan lagi hingga mesyuarat KFA,” katanya.




Beliau ketika ditanya adakah senarai nama itu termasuk jurulatih import, Azizan berkata: “Saya belum menerima apa-apa lagi dan masih menunggu keputusan jawatankuasa.” Kemelut pasukan Kedah tercetus apabila penyokong pasukan itu mendesak KFA menggugurkan ketua jurulatih, Ahmad Yusof dan pengurusnya, Datuk Khazali Din berikutan prestasi merudum dalam Liga Super 2011 selain tersingkir daripada saingan Piala FA.

KFA akhirnya akur dengan desakan penyokong dan merehatkan Ahmad buat sementara waktu dengan penolong jurulatihnya, Radhi Md Din memangku jawatan sebagai ketua jurulatih bagi satu tempoh yang akan ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...