Sunday, March 20, 2011

Dollah lega Pahang mara

JURULATIH Pahang, Dollah Salleh ternyata lega selepas skuad kendaliannya berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhir Piala FA.
Biarpun seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur malam kelmarin, Pahang tetap mara ke separuh akhir menerusi agregat 2-1.
Ia hasil kemenangan kemenangan 2-1 pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan, 15 Mac lalu.
“Apa yang penting kita berjaya untuk mara ke peringkat seterusnya.
“Saya akan memberi pemain berehat selepas ini dan saya percaya mereka akan pulih sebelum bangkit dengan prestasi cemerlang bagi meneruskan perjuangan musim ini,” kata Dollah.
Mengulas mengenai aksi malam kelmarin, Dollah berkata, anak-anak buahnya agak keletihan sehingga gagal menampilkan aksi hambar.
“Boleh dikatakan, pasukan Pahang bermain tidak seperti mana yang diharapkan pada malam ini (kelmarin).
“Selepas kita mempamerkan aksi cemerlang semasa bertemu Kelantan pada saingan Liga Super dan Kuala Lumpur pada suku akhir pertama Piala FA sebelum ini, kita mungkin sudah keletihan dan tidak bermaya.
“Apa yang dirancang oleh kita serba tidak menjadi tetapi kita masih berupaya untuk bertahan.
“Kuala Lumpur juga dilihat tidak melakukan percubaan berbahaya dan akhirnya kita berjaya menyekat pasukan itu daripada mencatat kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, Dollah mengakui para pemain Pahang tidak mengalami sebarang tekanan untuk terus mara pada saingan Piala FA kerana pencapaian mereka untuk mengisi slot ke separuh akhir juga tidak dijangka.
“Kita akan cuba yang terbaik. Sebagaimana kebangkitan kita sebelum ini, kita akan cuba kekalkan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...