Tuesday, March 29, 2011

Cikgu Jan tak rela rekod gah Perak lebur

LALUAN di depan semakin sukar, justeru ketua jurulatih Perak, Norizan Bakar berharap pemain Seladang lebih berwaspada apabila turun menghadapi baki kempen Liga Super 2011 bermula pertembungan dengan Felda United di Ipoh, Sabtu ini.
Dengan Perak masih lagi menjadi pasukan tunggal yang belum tumpas dalam liga elit itu, Norizan yakin setiap pencabar akan turun dengan azam melebur kecemerlangan pasukan Kejor Yob kejor itu setakat ini.

“Setiap pasukan pastinya ingin menumpaskan mereka yang belum pernah kalah kerana ia akan memberi kepuasan tidak terhingga jika berjaya melakukannya.


“Oleh itu, Perak menjadi tumpuan setiap pencabar saingan Liga Super ini kerana kami belum tumpas. Sehubungan itu pemain perlu sentiasa bersedia dan berwaspada dalam setiap perlawanan,” katanya.

Jurulatih itu juga berharap anak buahnya bangkit daripada kekalahan di tangan Terengganu pada suku akhir Piala FA yang menyaksikan Perak tersingkir daripada kejohanan kalah mati elit itu.


Beliau berkata, anak buahnya sudah mencuba sedaya upaya tetapi malangnya gagal menjaringkan lebih banyak gol daripada lawan.


“Pemain mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan itu tapi malangnya tidak mencukupi. Kami menyerang kubu lawan dan mencipta peluang. Bezanya Terengganu menjaringkan lebih gol untuk mengatasi kami," katanya.

Norizan berkata, tumpuan utama Perak ketika ini adalah mengukuhkan kedudukan liga terutama menghadapi sembilan perlawanan pada April, bermula pertemuan pasukan di tangga kedua, Felda United itu.


“Kami mempunyai jadual padat bulan depan dan pemain perlu berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan yang menentukan hala tuju pasukan,” katanya.

Jika ada yang melegakan Perak ialah daripada sembilan perlawanan itu, enam akan diadakan di Ipoh yang menyaksikan mereka menjadi tuan rumah untuk melayan kunjungan Perlis, Kelantan pada 5 dan 12 April sebelum bertemu Terengganu pada aksi terakhir pusingan pertama, 19 April.


Empat hari kemudian Perak bertandang ke Kuala Terengganu untuk perlawanan pembukaan pusingan kedua diikuti pertemuan dengan Kuala Lumpur dan Kedah pada 26 dan 30 April. Perlawanan pusingan pertama di luar ialah bertemu Sabah serta Selangor pada 9 dan 16 April. Selepas tujuh perlawanan, Perak menang tiga dan seri empat untuk memungut 13 mata bagi menduduki tangga keempat di belakang Kelantan, Felda United dan Selangor.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...