Thursday, March 31, 2011

Syria destinasi Kim Swee?

KUALA LUMPUR - Sebaik sahaja nama pasukan Lebanon diketahui menjadi lawan skuad Olimpik negara, bos skuad bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee awal-awal lagi telah merangka strategi bagi mencapai misi mengejutkan lawan.

Antara perancangan yang sudah mula bersarang di pemikiran jurulatih berasal dari Melaka itu ialah mahu mengadakan latihan pusat di negara yang mempunyai cuaca dan persekitaran sama seperti Lebanon supaya para pemainnya boleh menyesuaikan diri beraksi di sana.

Lantas, satu nama negara yang mungkin menjadi destinasi skuad Olimpik Malaysia sebelum berlepas ke Beirut pada 19 Jun ini ialah negara jiran Lebanon iaitu Syria yang menurut Kim Swee mempunyai cuaca dan persekitaran tidak jauh berbeza.

''Berdasarkan kajian saya, Syria adalah lokasi yang strategik untuk kita menjalankan latihan berpusat sebelum berdepan Lebanon manakala Qatar dan UAE yang sebelum ini berada di pemikiran saya, sudah tiada lagi perancangan kerana cuaca di sana terlalu panas.

''Berkemungkinan kita akan bertolak ke tempat yang dicadangkan itu nanti pada 8 Jun selepas beberapa pemain yang turut terlibat dengan perlawanan persahabatan dengan Hong Kong pulang ke tanah air pada 4 Jun.

''Satu perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan dari Asia Barat seperti Jordan dan Syria akan cuba saya aturkan pada 13 atau 14 Jun di sana, iaitu beberapa hari sebelum perlawanan sebenar.

''Saya juga mungkin mengadakan perlawanan persahabatan bertaraf antarabangsa di sini sebelum berlepas ke luar negara," katanya di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Kim Swee dalam pada itu mengakui dia tidak menganggap satu dilema buat dirinya apabila beberapa tonggak utama skuad Olimpik terikat dengan persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala dunia 2014.

''Saya tidak nafikan mereka ini semua bakal mempunyai jadual yang padat kerana selepas beraksi di Hong Kong pada 3 Jun, mereka terpaksa mengikuti perlawanan kelayakan Olimpik sebelum enam hari kemudian, membantu pula skuad kebangsaan di kelayakan Piala Dunia 2014.

''Namun, kita perlu memikirkan strategi terbaik kerana kedua-dua misi adalah mustahak dan saya tidak keberatan melepaskan pemain saya mengikuti persiapan skuad kebangsaan walaupun tidak nafikan faktor kecederaan bakal terjadi di kalangan mereka, " katanya.

Ditanya adakah dia gembira kerana dapat berdepan Lebanon dan mengelakkan pertemuan dengan pasukan gergasi Asia, dia tidak beranggapan itu satu kelebihan besar.

''Sama ada Korea Selatan atau Lebanon sekali pun, tiada bezanya, setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri, apa yang penting saya harus melakukan kerja rumah," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...