KUALA TERENGGANU - Terpaksa bergelap lebih 20 minit gara-gara lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang tiba-tiba terpadam seawal minit kelima dan kejadian itu pada awalnya amat menggusarkan pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti.
Bagaimanapun, sebaik perlawanan bersambung, Irfan akhirnya menarik nafas lega dengan persembahan cemerlang anak buahnya yang meledakkan tiga gol ketika menundukkan Perak 3-1, kelmarin.
"Sebenarnya saya takut sekiranya perlawanan hari ini (semalam) dimulakan semula.
"Syukurlah lampu akhirnya kembali berfungsi dan para pemain saya pula begitu bersemangat untuk meneruskan perlawanan," katanya kepada pemberita.
Pada saingan suku akhir kedua Piala FA itu, Terengganu berjaya mengatasi Perak 3-1 untuk menempah tempat ke separuh akhir setelah menang dengan agregat 5-4.
Gol tuan rumah dijaringkan oleh Reeshafiq Alwi pada minit ke-29, Abdul Manaf Mamat (minit ke-51) dan Abdul Hadi Yahya 10 minit sebelum wisel penamat.
Gol sagu hati Seladang pula dijaringkan bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menerusi tendangan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-74.
Terdahulu, Terengganu tunduk 2-3 di tangan Perak ketika aksi pusingan pertama yang berlangsung di Ipoh, Selasa lalu.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berpuas hati dengan kemenangan kelmarin.
"Pemain lebih berdisiplin dan berjaya melakukannya dengan sempurna. Insya-Allah, kita akan beraksi lebih baik menentang Pahang (separuh akhir Piala FA) selepas ini," katanya.
No comments:
Post a Comment