AHMAD Fakhri (kanan) bersama rakan sepasukan, Muslim Ahmad meraikan jaringan ketika bertemu Etoile FC di Stadium Jalan Besar, Singapura, kelmarin. |
Rajagobal idam muncul gergasi Asia
AKSI siri persahabatan antarabangsa secara lebih kerap ditakrif oleh K Rajagobal boleh menjadi satu rumusan terbaik membina barisan Harimau Malaya lebih padu untuk berdiri sama tinggi dengan gergasi Asia lain dalam tempoh empat tahun.
Pada pengamatan jurulatih skuad senior negara itu kekerapan perlawanan seumpama ini boleh membantu memastikan corak permainan anak didiknya tidak longgar dan sentiasa berada pada tahap memuaskan.
“Memang saya akui perlu ada lebih kerap aksi persahabatan kerana saya hanya dapat mengumpul pemain dalam tempoh singkat memandangkan semua pemain terikat dengan pasukan negeri dan kelab,” katanya selepas melihat Harimau Malaya sekadar seri 1-1 ketika menentang kelab Etoile FC di Stadium Jalan Besar, Singapura, kelmarin.
Rajagobal menambah andai siri perlawanan persahabatan itu diadakan secara timbal-balik mungkin beliau tidak melakukan pertukaran besar sebaliknya akan mengekalkan barisan terbaik tetapi terpaksa berbuat demikian mencari kesesuaian serta kombinasi terbaik.
“Saya tidak pentingkan keputusan sebaliknya mahu melihat disiplin dan komitmen pemain apabila beraksi di padang malah saya dapat kesan ada kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Dia turut menyuarakan betapa dia ada banyak pilihan di barisan pertahanan selepas pemain baru, Rizal Fahmi mempamerkan aksi terbaik walaupun beraksi dalam tempoh singkat pada babak kedua manakala penampilan pertama Azidan Sarudin juga tidak mengecewakan.
“Barisan depan tidak banyak terjejas tanpa Safie Sali kerana saya ada Ahmad Fakri, Shahrizal Saad dan Izzaq Faris yang mampu galas tugas selaku penyerang,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment