Saturday, March 26, 2011

Shahidan diramal kekal terajui PFA

BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dijangka mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi penggal kelapan pada mesyuarat agung persatuan kali ke-19, malam ini. 

Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Besry Ku Aziz berkata, Shahidan yang memenangi jawatan itu pada mesyuarat agung ke-18, dijangka menang bagi jawatan presiden yang disandang sejak 1996.

Namun, situasi berbeza bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang dijangka bakal menyaksikan pertandingan.


“Kekosongan bagi jawatan Timbalan Presiden disebabkan penyandangnya, Abdul Jamil Saad yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri melepaskan jawatan itu manakala salah satu daripada dua jawatan Naib Presiden kosong berikutan kematian Naib Presiden 1, Mohd Noor Aziz, November lalu. Jawatan Naib Presiden 2 kini disandang Ramly Sawai,” katanya. 

Ku Besry yang juga Pegawai Media PFA berkata, mesyuarat berkenaan juga dijangka memilih tujuh kerusi ahli majlis daripada kelab gabungan PFA. 

“Kita menjangka semua kelab ahli gabungan PFA yang layak akan hadir pada mesyuarat dwi tahunan ini,” kata Ku Besry. 

Shahidan sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk tidak bertanding atau melepaskan jawatan sekiranya ada mana-mana pihak menawarkan diri bertanding tetapi dengan syarat individu berkenaan bersedia memberi sumbangan kewangan secara tetap kepada persatuan. 
“Sungguhpun pemilihan jawatan adalah terbuka, kami jangkakan tiada calon yang akan mencabar Datuk Seri Shahidan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...