Thursday, March 24, 2011

Wan Jamak ke Indonesia?

KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan tidak bercadang berehat lama, sebaliknya mahu meninjau peluang kembali berkhidmat di negeri kelahirannya Johor, malah tidak menolak kemungkinan berhijrah ke Liga Super Indonesia (ISL).

Tiga pasukan dari Johor yang beraksi dalam Liga Malaysia iaitu Johor FC (Liga Super), Johor dan Majlis Perbandaran Muar (Liga Perdana) berkemungkinan besar menjadi sasarannya sebagai pemerhati ketika ini.

Dalam pada itu, kejayaan lalu Abdul Rahman Ibrahim dan Irfan Bakti Abu Salim bertapak sebagai jurulatih di dua kelab ISL, Deltras Sidoarjo dan Persipura Jayapura mencetuskan impian Wan Jamak untuk mengikut jejak mereka.

''Buat masa ini saya mahu berehat untuk selesaikan urusan peribadi dan saya akan cuba untuk melihat-lihat dulu prestasi pasukan yang ada di Johor.

''Memang saya akui ada lamaran daripada beberapa pasukan tapi biarlah saya tidak mahu umumkan dulu dan sekiranya ada tawaran daripada kelab ISL sudah tentu saya tidak akan lepaskan peluang itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Wan Jamak meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad Hoben Jang Hoben selepas mengakui bertanggungjawab di atas kemerosotan pasukan tersebut dalam saingan Liga Super Musim ini.

Sewaktu Negeri Sembilan berada di bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan itu, pasukan tersebut berjaya mengakhiri kemarau menjuarai Piala Malaysia selama 61 tahun apabila berupaya menjulang trofi paling berprestij itu pada 2009.

Malah, skuad Hoben Jang Hoben juga berjaya merangkul Piala FA pada 2009, sekali gus meletakkan Negeri Sembilan antara skuad elit yang digeruni sejak dua tahun lalu.

Namun, kemerosotan mendadak pada saingan Liga Super musim ini termasuk tersingkir daripada saingan Piala FA menyebabkan penyokong kecewa dengan prestasi pasukan itu tahun ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...