Sunday, March 20, 2011

Azraai latih Rusa?

URA-URA mengatakan bekas pengendali Harimau Muda, Mohd Azraai Khor Abdullah bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Jurulatih Negeri Sembilan berikutan peletakan jawatan Wan Jamak Wan Hassan, Khamis lalu. 

Azraai ketika dihubungi Sinar Harian tidak menafikan perkara itu dan mengakui Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) ada menghubunginya untuk menawarkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih. 

Bagaimanapun, menurutnya, ketika itu beliau masih bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

“Sekarang, saya sudah bebas. Jadi, saya akan mempertimbangkan tawaran yang dibuat. 

“Setakat ini, selain Negeri Sembilan, saya juga menerima tawaran daripada pasukan Perlis,” katanya. 

Azraai berkata, beliau perlu berfikir semasak-masaknya sebelum menerima tawaran daripada kedua pasukan berkenaan. 

“Bekas pemain saya ramai di Perlis, selain keadaan tempat lebih dekat berbanding Negeri Sembilan. 

“Manakala, Negeri Sembilan mempunyai kemudahan sukan yang amat baik. Antaranya, kemudahan fisioterapi sepenuh masa,” katanya. 

Beliau berkata, kedua pasukan mempunyai kelebihan mereka sendiri dan faktor itu menyukarkannya membuat keputusan mengenai pasukan manakah yang bakal dibimbingnya. 

“Saya tidak boleh mengatakan saya sedia menjadi ketua jurulatih untuk pasukan Perlis dan Negeri Sembilan, biarlah pihak persatuan yang tentukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...