Saturday, March 26, 2011

Shahidan dijangka kekal Presiden PFA

DATUK Seri Shahidan Kassim dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi penggal kelapan pada Mesyuarat Agung persatuan induk bola sepak negeri itu, malam ini.
Mesyuarat agung kali ke-19 yang sepatutnya diadakan Disember lalu itu ditangguhkan berikutan sebab tertentu bakal berlangsung di Hotel Brasmana, Kuala Perlis, bermula jam 8.30 malam.

Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Besry Ku Aziz berkata, mantan Menteri Besar Perlis yang memenangi jawatan itu buat kali ketujuh dijangka mengulangi keputusan sama yang dimenanginya sejak 1996.


“Kami percaya walaupun pemilihan untuk jawatan itu terbuka dan Datuk Seri (Shahidan) pernah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding, tapi pada masa sama, kami juga percaya tidak ada calon yang bakal mencabar jawatan itu.

“Sebaliknya, khidmat beliau (Shahidan) masih diperlukan untuk memimpin pasukan negeri ini. Justeru, kami percaya ahli dan kelab gabungan akan terus mencalonkan beliau untuk kekal presiden buat kali kelapan," katanya.


Bagaimanapun, Ku Besry berkata, situasi mungkin berbeza bagi dua lagi jawatan utama iaitu Timbalan dan Naib Presiden yang dijangka bakal menyaksikan pertandingan sengit membabitkan beberapa individu berikutan kekosongan sedia ada.


Kekosongan bagi jawatan Timbalan Presiden itu selepas penyandang, Abdul Jamil Saad yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri melepaskan jawatan itu. Bagi jawatan Naib Presiden pula membabitkan dua tempat dengan salah satunya berlaku kekosongan selepas penyandangnya, Mohd Noor Aziz (Naib Presiden Satu) meninggal dunia November lalu. Jawatan Naib Presiden Dua pula disandang Ramly Sawai.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...