Thursday, March 31, 2011

Undian kali ini memihak Malaysia

Shin Man Gil mencabut undian tertera nama Malaysia pada majlis cabutan undian Kelayakan Piala Dunia 2014 di Rumah AFC, Bukit Jalil, semalam. Malaysia akan menentang Taiwan pada pusingan pertama. – UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed


KUALA LUMPUR – Tuah ternyata memihak Malaysia dalam undian Kelayakan Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2012 apabila mendapat laluan agak mudah selepas undian yang dibuat di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Nama Malaysia yang dicabut sebagai pasukan pertama pada sesi undian Kelayakan Piala Dunia 2014 oleh Shin Man Gil selaku Pengarah Pertandingan Pasukan Kebangsaan AFC memperlihatkan Harimau Malaya bakal berdepan dengan lawan yang berada di ranking ke-40 Asia, Taiwan pada pusingan pertama.

Selesai sahaja sesi undian pusingan pertama, suasana bilik undian sedikit gamat di kalangan media Malaysia apabila pasukan jiran, Singapura bakal menjadi lawan Harimau Malaya jika anak-anak buah K. Rajagobal di pusingan kedua jika dapat melepasi cabaran Taiwan.

Keputusan undian itu ternyata melegakan buat kem negara kerana dapat mengelak lawan-lawan yang lebih handal di pusingan kedua seperti Iran, Arab Saudi, Qatar, Jordan, Uzbekistan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atau China.

Seandainya pertemuan dengan Singapura dapat direalisasikan, ia sudah pastinya memberikan peluang terbaik buat Malaysia melangkah lebih jauh iaitu sekurang-kurangnya di pusingan ketiga iaitu perlawanan di peringkat kumpulan yang akan menghimpunkan 20 pasukan terbaik.

Perlawanan pertama pada 29 Jun ini akan dilangsungkan di sini sebelum Harimau Malaya berlepas ke Taipei bagi mengharungi perlawanan timbal balik kedua pada 3 Julai ini.

Jepun, Korea Selatan, Australia, Korea Utara dan Bahrain yang merupakan lima pasukan di ranking teratas mendapat bye sehingga ke pusingan ketiga.

Pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010, langkahan Malaysia tersekat di pusingan pertama lagi apabila tunduk kepada Bahrain 1-4 menerusi kiraan agregat.

Skuad kebangsaan Indonesia diundi sekali lagi berdepan Turkmenistan pada pusingan kedua selepas pasukan Olimpik mereka disingkirkan negara yang sama pada pusingan pertama kelayakan Olimpik manakala Thailand pula akan bertemu pemenang antara Afghanistan dan Palestin.

Sementara itu, pengendali skuad Olimpik, Ong Kim Swee boleh menarik sedikit nafas lega apabila kertas undian Malaysia yang dicabut sebagai pasukan terakhir dari 24 negara akan berdepan pilihan ke-11, Lebanon.

Tidak berdepan dengan salah satu pasukan gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Australia atau Bahrain pasti memberikan sedikit sinar harapan buat Kim Swee mencari kemenangan pada pusingan kedua agar dapat meneruskan api perjuangan sehingga ke pusingan akhir kelayakan iaitu di kalangan 12 pasukan terakhir.

Nasib yang dimiliki Malaysia bagi undian kelayakan Olimpik mungkin dicemburui beberapa negara jiran lain seperti Thailand yang terpaksa mengharungi laluan sukar apabila Bahrain menjadi lawan mereka sementara Vietnam diundi menentang Arab Saudi.

Skuad Olimpik negara bakal bertandang ke Beirut terlebih dahulu pada 19 Jun ini sebelum bermain di tempat sendiri pada 23 Jun.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...