JURULATIH bola sepak kebangsaan, K Rajagobal tidak mahu terlalu ghairah membicarakan peluang Malaysia melangkah jauh dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Brazil 2014 meskipun keputusan undian perlawanan pusingan pertama dan kedua semalam cukup memuaskan hatinya.
Pada majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bukit Jalil, skuad kebangsaan yang diletakkan di ranking ke-28 dalam senarai pasukan pusingan kelayakan Piala Dunia Zon Asia bakal menentang Taiwan di ranking ke-40 pada aksi pertama 29 Jun ini.
Perlawanan pertama akan berlangsung di gelanggang lawan sebelum beraksi di arena sendiri pada 3 Julai ini.
Skuad Harimau Malaya yang kembali mencipta mana di rantau Asia Tenggara itu mampu menapak lebih jauh jika melepasi halangan pertama kerana tuah undian sekali lagi memihak mereka apabila bertemu pasukan Singapura di pusingan kedua pada 23 dan 28 Julai ini.
Namun, Rajagobal tidak mahu terburu-buru membuat andaian sebaliknya lebih tenang memberi tumpuan kepada lawan pertama, Taiwan yang mempunyai rekod seimbang dalam 11 pertemuan sejak 1958 hingga 2000.
Malah, pada perlawanan terakhir kedua-dua pasukan pada kelayakan Piala Asia 2000 di Bangkok, Malaysia tumpas 3-2.
“Saya puas hati hasil undian tapi jangan terlalu ghairah atau yakin, kita lihat apa sudah jadi apabila Jerman tewas kepada Australia (perlawanan persahabatan semalam).
“Pasti ramai yang fikir Taiwan tak kuat tapi baru-baru ini mereka bermain menentang Hong Kong, permainan mereka tidak banyak bezanya dengan China atau Macau dan lebih elok kita berikan tumpuan kepada perlawanan pertama dulu kerana saya lebih suka mengambil pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.
No comments:
Post a Comment